RAVEN: TINGKAT KESEDARAN, TANGGUNGJAWAB BERSAMA PULIHARA SUNGAI


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, biarpun kerja pembersihan sungai dilaksanakan secara berkala namun keadaan itu tidak bertahan lama kerana ia kemudian kembali seperti sedia kala susulan tindakan orang ramai membuang sampah merata-rata.

 

JOHOR BAHRU — Fikir dahulu sebelum membuang sampah ke dalam longkang dan pastikan kebersihan sungai adalah tanggungjawab bersama.

 

Itu peringatan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar selepas mengadakan tinjauan ke salah satu lokasi tumpuan bagi kerja-kerja pengindahan Sungai Skudai di Kampung Pasir, di sini.

 

“Kesedaran orang ramai terhadap kebersihan terutamanya sungai masih lagi di tahap yang kurang memuaskan,” katanya.

 

Raven Kumar berkata, biarpun kerja pembersihan sungai dilaksanakan secara berkala namun keadaan itu tidak bertahan lama kerana ia kemudian kembali seperti sedia kala susulan tindakan orang ramai membuang sampah merata-rata.

 

“Bagaimanapun, timbunan sampah sarap akan kembali dalam tempoh dua hari selepas kerja pembersihan dilakukan sekaligus menjadi punca kepada kejadian banjir kilat.

 

“Inilah akibatnya jika kita membuang sampah ke dalam longkang. Air yang mengalir akan membawa longgokan sampah ke kawasan ini (sungai),” katanya kepada Media Digital Johor (MDJ).

 

Terdahulu, wartawan MDJ turut dibawa mengikuti program Lawatan Ke Tapak Pengindahan Sungai Skudai membabitkan lima lokasi iaitu Kampung Bakar Batu, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Tampoi Utama dan Pusat Informasi Sungai Skudai yang terletak disepanjang sungai berkenaan.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan program gotong royong membersihkan sungai secara besar-besaran selepas Aidilfitri bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan khazanah alam ini.

 

“Menerusi inisiatif ini, kita yakin dapat mengatasi masalah banjir kilat di Johor Bahru sekiranya semua pihak dapat bekerjasama mendokong agenda Johor Bersih,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor