PTP TERUSKAN TRADISI AGIH BUBUR LAMBUK


Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan kerjasama Lembaga Pelabuuhan Johor (LPJ) menyediakan 2,000 bungkus bubur lambuk sempena Ramadan kali ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) menyediakan 2,000 bungkus bubur lambuk sempena Ramadan kali ini, pada 30 Mac lalu.

 

Aktiviti memasak bubur lambuk telah dijayakan secara bersama oleh sukarelawan PTP dan LPJ selain masyarakat Mukim Tanjung Kupang dan Persatuan Ibu Tunggal di surau Jabatan Laut Malaysia, dekat Gelang Patah.

 

Turut hadir dalam gotong-royong tersebut adalah Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed; ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad; Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah.

 

Selain itu, Penolong Pengurus Besar Bahagian Khidmat dan Pembangunan Korporat LPJ, Norazlin Yusop; Ketua Bahagian Pengurusan Modal Insan PTP, Jaizal Kamar Jalaludin serta Penghulu Mukim Tanjung Kupang, Mohamad Faiz Mohd Pandi.

 

 

Program yang menjadi acara tahunan itu menyaksikan inisiatif PTP mengurangkan penggunaan plastik dalam membungkus dan mengedarkan juadah istimewa berkenaan.

 

Sebanyak enam kelalang (flask) bubur diagihkan kepada anak-anak yatim Rumah Fitrah Qaseh, Rumah Sri Setanggi, Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan Taman Sinar Harapan.

 

Manakala, 1,550 mangkuk kertas bubur lambuk pula diedarkan kepada keluarga memerlukan sekitar Mukim Tanjung Kupang, PPR Melana Taman Perling dan gelandangan di Larkin.

 

Tidak dilupakan, PTP turut mengedarkan bubur lambuk kepada 13 agensi media sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas sokongan diberikan.

 

Program seumpama itu kali pertama dianjurkan PTP pada tahun 2011 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyumbang kembali kepada masyarakat khususnya pada bulan Ramadan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor