REZEKI SAJIAN MAKANAN VIETNAM


Norsahnida Suliman, pengusaha restoran Dapur Cipuk mula berniaga sejak tahun 2019. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Semangat yang tidak pernah luntur dalam mengharungi dunia perniagaan terutama bidang pemakanan menjadikan pengusaha restoran Dapur Cipuk cekal berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

 

Berkelana selama empat tahun di Vietnam, pengalaman hidup di negara orang nyata memberikan inspirasi kepada Norsahnida Suliman untuk memulakan perniagaan berasaskan makanan negara Asia Tenggara itu sebaik sahaja pulang ke tanah air.

 

Memulakan perniagaan pada tahun 2019, Dapur Cipuk menyediakan juadah sarapan pagi dan juga beberapa sajian dari Vietnam seperti ‘mee pho’, ‘Vietnamese spring roll’, laksa Vietnam, kopi Vietnam dan spagheti salai yang diolah memenuhi citarasa tempatan.

 

Usahawan berasal dari Tangkak ini menerima geran Bantuan Peralatan Perniagaan 2024 Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd (PUJB) disampaikan oleh YB Dato’ Onn Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Tangkak di Litar Lumba Tangkak.

 

Norsahnida menyifatkan bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak memudahkannya mengembangkan lagi perniagaan sekali gus membawa satu lonjakan positif kepada usahawan muda sepertinya.

 

Mempunyai cita-cita yang tinggi, usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu berhasrat mengembangkan perniagannya dengan menghasilkan pes makanan Vietnam untuk dipasarkan ke seluruh negeri buat penggemar sajian asli negara tersebut.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor