RINDU INGIN BERSUA DYMM SULTAN JOHOR LAGI


Gambar kenangan Halijah Mohd Amin (tengah) yang sempat dirakam bersama DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibin Almarhum Sultan Iskandar suatu ketika dahulu. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

Sekali imbas tiada apa yang istimewa yang dapat dilihat di Perkampungan Kampung Lepau yang terletak di Pengerang selain daripada pokok sawit dan juga kerancakan sektor industri berasaskan petrokimia di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

 

Namun bagi penduduk di kampung terbabit, mereka mempunyai nukilan cerita istimewa yang menggambarkan keeratan hubungan antara penduduk dengan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibin Almarhum Sultan Iskandar yang sudah terakam sejak sekian lama untuk diceritakan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

 

Antara mereka yang bertuah dapat berinteraksi secara langsung bersama baginda ialah Halijah Mohd Amin yang sempat bersua bersama Tuanku Sultan Ibrahim sejak baginda bergelar DYAM Tunku Mahkota Johor lagi.

 

Halijah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Jah dalam kalangan penduduk setempat menggambarkan baginda seorang yang mudah didekati, cepat mesra, bersopan santun dan berjiwa rakyat kerana sentiasa bertanya khabar mengenai keadaan semasa penduduk kampung.

 

“Tuanku seorang yang amat ‘simple’ kerana baginda hanya ke kampung ini hanya dengan menaiki motosikal yang sama dimiliki oleh orang kebanyakan dan tanpa protokol yang ketat. Keperibadian tuanku itulah menyebabkan rakyat berasa amat ‘dekat’ dengan baginda.

 

“Saya antara yang bertuah kerana apabila tuanku ke kampung ini dari istana hinggap baginda di Sebana Cove, tuanku sempat singgah ke rumah saya. Rasa gementar dan gugup juga tapi rasa gembira melebihi segalanya kerana bukan dapat menatap wajah tuanku dari dekat tetapi dapat ‘berborak’ bersama tuanku,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Halijah berkata, pertemuan dengan tuanku itu sememangnya antara pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dirinya dan ahli keluarganya yang lain serta jiran terdekat kerana ia adalah detik berharga antara seorang rakyat dengan rajanya.

 

“Lebih santai, tuanku hanya duduk di atas motosikalnya sambil berborak dengan saya. Saya ni memang suka bercakap dan tuanku sempat minum air teh sarbat (teh halia) yang saya sendiri buatkan. Seronoknya hanya tuhan sahaja yang tahu.

 

“Tetapi tuanku tidak dapat singgah lama di rumah saya kerana beberapa semut telah menggigit kaki tuanku yang menyebabkan baginda beredar tidak lama kemudian. Tetapi sebelum itu, saya mohon perkenan tuanku untuk merakam gambar bersama tuanku untuk dijadikan kenangan anak cucu saya dikemudian hari,” katanya.

 

Beliau berkata, disebabkan oleh tanggungjawab dan tugas yang kini dipikul oleh tuanku sebagai sultan pemerintah negeri ini menyebabkan baginda sudah agak lama tidak berkunjung ke Kampung Lepau ini.

 

“Saya sudah bertemu tuanku ketika baginda menjadi TMJ dan juga kini sebagai sultan. Saya yakin bukan diri saya sahaja tetapi juga penduduk kampung berharap akan dapat bertemu dengan tuanku lagi… tapi kali ini biarlah sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor