NILAI SEMULA KADAR BAHARU AGAR TIDAK BEBAN RAKYAT


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan purata kadar taksiran baharu selepas penilaian semula merupakan di bawah satu peratus, yang masih lagi belum dimuktamadkan. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor memberikan komitmen untuk melakukan penilaian semula terhadap cadangan kadar taksiran cukai harta baharu yang dibentangkan melibatkan lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

 

Lima PBT tersebut adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan purata kadar taksiran baharu selepas penilaian semula merupakan di bawah satu peratus, yang masih lagi belum dimuktamadkan.

 

Kadar baharu yang bakal dibentangkan oleh PBT juga akan dinilai semula supaya tidak membebankan rakyat dan pemilik harta di lima PBT berkaitan diberikan ruang mengemukakan bantahan kepada PBT sekiranya tidak berpuas hati terhadap kadar penilaian semula yang dikenakan.

 

Komitmen Kerajaan Negeri ini dibuat meskipun terdapat keperluan menilai semula kadar taksiran cukai seperti termaktub dalam Seksyen 127 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang kali terakhir dilaksanakan di Johor, pada tahun 2013.

 

Malah, penangguhan semakan kadar cukai yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2020 juga dibuat kerana mengambil kira pandemik COVID-19 yang melanda ketika itu.

 

Kerajaan Johor sentiasa terbuka menerima maklum balas mengenai Notis Senarai Nilaian Baharu selaras Seksyen 141 Akta Kerajaan Tempatan [Akta 171] di lima PBT terbabit yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2024.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan Kerajaan Negeri akan meneliti dan mempertimbangkan kaedah dan kadar terbaik agar taksiran cukai harta tidak membebankan terutamanya dalam keadaan semasa.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor