RKK SASAR PEMULIHARAAN SUNGAI TEBRAU


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata Sungai Tebrau kini berada di tangga ke-53 di dalam senarai sungai paling kotor di dunia yang dikeluarkan oleh The Ocean Cleanup. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Tebrau (MBJB) 2035 dilihat mampu memacu usaha Kerajaan Negeri Johor di dalam memulihara dan meningkatkan kualiti sungai tersebut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata Sungai Tebrau kini berada di tangga ke-53 di dalam senarai sungai paling kotor di dunia yang dikeluarkan oleh The Ocean Cleanup.

 

“Jadi, dengan inisiatif yang dibuat oleh MBJB menerusi program jangka masa panjang selama 11 tahun ini berpotensi untuk menjadikan Sungai Tebrau sebagai kategori Kelas 2. RKK ini juga telah mendengar pandangan daripada pihak pakar industri dan juga penduduk di kawasan terdekat.

 

“Hasrat kita nak menjadikan Sungai Tebrau ini lebih bersih dan pada masa yang sama kita nak pastikan pembangunan di tebing-tebing sungai lebih terkawal,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sungai Tebrau (MBJB) 2035 di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Jafni berkata, Kerajaan Negeri akan berusaha memindahkan penduduk di 54 perkampungan setinggan yang terdapat di sekitar tebing Sungai Tebrau.

 

“Kita tidak berhasrat untuk merobohkan rumah-rumah setinggan itu kerana kebanyakannya adalah warga tempatan. Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menyediakan penempatan baharu.

 

“Kalau mereka adalah warga tempatan, maknanya mereka akan ditawarkan rumah dahulu… tetapi jika didapati warga asing yang menetap di kawasan setinggan, kita akan ambil tindakan (merobohkan) selepas diberikan notis.” ujarnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor