40 CALON SMK MUTIARA RINI CEMERLANG STPM 2022


Pelajar-pelajar SMK Mutiara Rini semasa mengambil keputusan STPM 2022, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 40 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini memperoleh keputusan cemerlang, semalam.

 

Pengetua SMK Mutiara Rini, Zanariah M Yasin berkata, keputusan memberangsangkan itu sekali gus melonjakkan purata nilai gred kumulatif (PNGK) sekolah dari 2.57 kepada 3.05.

 

“Alhamdulillah, buat julung kalinya, ini merupakan pencapaian terbaik sekolah kami dalam tempoh lima tahun dengan lima orang calon PNGK 4.00.

 

“Kami (guru-guru) turut menggelarkan pelajar cemerlang ini sebagai ‘Permata Mutiara’ bagi mengiktiraf kecemerlangan terbaik mereka,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Zanariah berkata, pihak sekolah mendaftarkan seramai 75 orang calon STPM yang berjaya memperoleh keputusan 100 peratus lulus dengan 53.33 peratus pelajar cemerlang berbanding tahun lalu (2021), iaitu 28.43 peratus.

 

“Saya berharap pelajar lepasan STPM ini terus mengekalkan kecemerlangan dengan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

 

Untuk rekod, status PNGK lapan buah sekolah Tingkatan Enam di Johor Bahru menunjukkan peningkatan antaranya SMK Sultan Ismail; SMK Gelang Patah; SMK Skudai; SMK Aminuddin Baki dan SMK Dato’ Jaafar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor