LINDUNGI DAN PERKASA WANITA BERSAMA!


Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor (KOMENTAR) 2024 disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) komited memperkasa golongan wanita di negeri ini, yang diterjemahkan dalam 10 resolusi dibentangkan pada Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor (KOMENTAR) 2024.

 

Resolusi berkenaan adalah pengukuhan ekonomi dan usahawan wanita; pembangunan direktori kepimpinan wanita; peningkatan kesejahteraan psikososial dan kesihatan mental; pengukuhan komuniti sokongan serta perlindungan dan kesedaran hak wanita.

 

Turut dibentangkan, pemantapan hak dan perlindungan kanak-kanak; penggunaan teknologi dan digital; intervensi terhadap ketagihan seksual digital; pendidikan berteraskan nilai Islam untuk pembangunan wanita, serta kesedaran tentang kepentingan autisme.

 

Bertemakan ‘Pemerbedayaan Bangsa Johor, Menggapai Aspirasi Maju Johor’, KOMENTAR 2024 disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

Konvensyen yang merupakan inisiatif Pemberdayaan dan Kelestarian Wanita Negeri Johor di bawah Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial dalam Belanjawan Johor 2024 itu diyakini mampu mendidik rakyat lebih peka terhadap isu-isu yang dihadapi oleh wanita, keluarga, dan komuniti.

 

Berlangsung selama tiga hari, konvensyen juga menjadi platform bagi pakar-pakar berkongsi pandangan dan membincangkan pendekatan dalam menangani cabaran sosial, keluarga dan masyarakat yang memberi impak kepada wanita menerusi sesi forum serta seminar.

 

Hadir sama, YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor; YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Kota Iskandar dan YBhg. Puan Noor Faezah Md. Esa, Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor