MUSIM TENGKUJUH BERMULA LEBIH AWAL


Hujan lebat berterusan dan angin kenjang dijangka sering berlaku dalam tempoh musim tengkujuh / Foto Ihsan MET Malaysia.

 

ISKANDAR PUTERI – Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan melanda rantau negara ini lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 7 November ini dan dijangka berterusan sehingga Mac tahun hadapan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya hari ini berkata, empat hingga enam luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku dalam tempoh berkenaan.

Seperti musim lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari berupaya mengakibatkan kejadian banjir terutama di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Risiko banjir juga meningkat sekiranya hujan lebat berterusan ini berlaku serentak dengan fenomena kejadian air pasang besar.
Kejadian air pasang besar ini dijangka berlaku dalam beberapa fasa iaitu pada 6 hingga 7 November; 22 hingga 27 November; 7 hingga 12 Disember; 22 hingga 26 Disember tahun ini.

Selain itu, jangkaan air pasang besar juga dijangka berlaku pada 6 hingga 10 Januari dan 21 hingga 25 Januari tahun hadapan.

Ketika tempoh Monsun Timur Laut berlaku, tiupan angin secara berterusan dan kencang boleh mengakibatkan keadaan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Justeru orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web dan laman sosial rasmi jabatan ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor