RM241,000 DIPERUNTUKKAN BAIK PULIH SA DATO’ ABDULLAH ESA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid bersama EXCO Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah meninjau Sekolah Agama (AS) Dato’ Abdullah Esa, Johor Bahru yang menerima peruntukan RM241,000 bagi kerja membaik pulih sekolah. | Sumber foto: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid dan Hairi Mohd Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memperuntukkan RM241,000 kepada Sekolah Agama (AS) Dato’ Abdullah Esa, dekat Johor Bahru, bagi melakukan kerja baik pulih.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, peruntukan itu melibatkan kerja pendawaian berjumlah RM149,000 dan mengecat sebanyak RM92,000 yang sudah diterima serta dilaksanakan.

 

“Keselamatan dari sudut pendawaian elektrik memang tidak dapat diambil ringan.. semoga baik pulih dan naik taraf ini akan memberi manfaat kepada anak-anak kita dan guru-guru. Tandas pun saya masuk.. nampak kemas dan memuaskan,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin itu.

 

Dalam siaran berasingan, EXCO Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah yang turut serta dalam lawatan itu memaklumkan SA Dato’ Abdullah Esa itu menempatkan 1,500 murid.

 

Ujarnya, terdapat infrastruktur perlu ditambah baik demi keselesaan murid di sekolah agama yang mempunyai tiga blok utama itu.

 

“Insya Allah, segala permasalahan yang diajukan termasuk kekurangan kakitangan sudah dalam makluman YB EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan sama-sama kita doakan segala urusan dipermudahkan demi manfaat serta kebaikan bersama,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor