SEKOLAH HOSPITALITI DAN PELANCONGAN KYPJ SEDIA DINAIK TARAF

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemudahan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, KYPJ yang bakal dinaik taraf. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#KotaTinggi – Kerajaan Negeri komited melahirkan bakat dan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri dengan menaik taraf fasiliti Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ).
Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2025 untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan di samping menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar dan tenaga pengajar di sekolah berkenaan.
Kerja naik taraf fasiliti sekolah berkenaan melibatkan pembaharuan kemudahan bilik pembelajaran dan ruang utama seperti dapur latihan yang akan diubah suai menjadi lebih moden serta eksklusif.
Inisiatif berkenaan merupakan strategi menjadikan kursus ditawarkan KYPJ itu lebih dikenali dan menarik lebih ramai orang muda terutama berminat menceburi bidang hospitaliti serta menyumbang dalam sektor pelancongan di negeri ini.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemudahan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, KYPJ yang bakal dinaik taraf.
Turut bersama dalam lawatan berkenaan adalah YBhg. Tuan Haji Suhairi Hashim, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan YBhg. Tuan Haji Mohd Fahmi Salam, Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ Sdn. Bhd.
#KYPJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor