SISTEM PARKIR DIGITAL DIPERLUAS KE MPKu
Sistem pembayaran parkir digital akan dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Ogos ini di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Pelaksanaan fasa satu sistem digital berkenaan akan membabitkan 3,974 lot parkir daripada 9,478 lot di 101 kawasan yang telah diwartakan seluruh Kulai.
Justeru, pemilik kenderaan boleh memuat turun aplikasi mudah alih PARKMAX@JOHOR bagi membuat pembayaran secara dalam talian, menambah tempoh masa parkir serta membuat pembayaran kompaun.
Penggunaan sistem parkir digital tersebut berupaya menangani isu pembayaran parkir di Kulai seterusnya mengurangkan kebergantungan penggunaan kupon parkir secara gores yang akan ditamatkan pada 2026.
MPKu menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kedua menggunakan aplikasi PARKMAX@JOHOR selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri memulakan penggunaan sistem tersebut pada 1 April lalu.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Parkir PARKMAX@JOHOR di Galeri Majlis Perbandaran Kulai.
Hadir sama, YBhg Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua MPKu dan YBhg Azmee Awang, Setiausaha MPKu.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor