SKMM SASAR PENGGUNAAN SEPENUHNYA TANDATANGAN DIGITAL MENJELANG 2025
JOHOR BAHRU — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyasarkan penggunaan sepenuhnya tandatangan digital dalam sektor awam menjelang tahun 2025.
Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi SKMM, Shamsul Izham Abdul Majid berkata, sasaran berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai aspirasi MyDigital.
“Penggunaan tandatangan digital yang diiktiraf akan memenuhi keperluan seperti kerahsiaan dokumen, pengesahan identiti dan juga memelihara integriti sesuatu maklumat.
“Malah, SKMM bertanggungjawab memberi kesedaran kepada pemegang taruh khususnya agensi kerajaan, sektor korporat dan pengguna individu tentang penggunaan tandatangan digital yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tandatangan Digital SKMM 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Transformasi dan Penggunaan Digital SKMM, Mohd Fairus Muhammad dan Pengarah Negeri SKMM Johor, Mohamad Rizal Ahmad.
Persidangan Tandatangan Digital SKMM 2023 bertemakan ‘Membina Kepercayaan di Era Digital’ itu menerima kehadiran kira-kira 250 peserta.
Shamsul berkata, penganjuran persidangan itu merupakan kesinambungan daripada persidangan pertama berlangsung di Ipoh, Perak pada bulan Mei lalu.
“SKMM sebagai badan yang mengawal selia penggunaan tandatangan digital di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 sentiasa berusaha untuk memastikan dan mencipta ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor