SKUAD MUDA SV DILANCARKAN DI 56 SEKOLAH


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah menyerahkan cenderamata kepada pengetua SMK Dato’ Jaafar. | Foto MDJ: Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Program Skuad Muda Southern Volunteers (SV) secara rasmi dilancarkan secara serentak di 56 sekolah di Negeri Johor, hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pelaksanaan skuad itu sebagai menjunjung titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang juga Penaung SV.

 

Menurutnya, Tunku Ismail sentiasa prihatin ke arah memperkasa peranan belia khasnya dalam bidang kesukarelaan hingga ke peringkat akar umbi melibatkan belia di negeri ini.

 

“Program ini juga dilaksanakan untuk memperluaskan sayap SV ke peringkat sekolah di seluruh Negeri Johor agar aktiviti kesukarelaan menjadi sebagai budaya dalam mencerminkan identiti belia Bangsa Johor.

 

“Untuk fasa pertama, sebanyak 56 sekolah di setiap 56 DUN telah terpilih dengan melibatkan anggaran sebanyak 50,400 pelajar untuk menyertai program Skuad Muda SV di setiap sekolah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Muda SV Sekolah 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’Jaafar di sini, hari ini.

 

Mohd Hairi berkata, program Skuad Muda SV di peringkat sekolah itu akan diteruskan untuk fasa berikutnya dari semasa ke semasa.

 

Ujarnya, pelaksanaan program itu turut bertujuan membentuk nilai murni dalam diri pelajar agar mampu menyumbang bakti kepada masyarakat Negeri Johor yang memerlukan bantuan.

 

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjayakan pembentukan nilai insaniah melalui adab, akhlak dan integriti serta membentuk kemahiran, dinamis dan sikap prihatin sesama masyarakat.

 

“Diharapkan dengan pelaksanaan program ini, peranan pelapis belia dalam bidang kesukarelaan akan dapat diperkasakan dan diperluaskan untuk membina belia Bangsa Johor yang maju dan mampu bersaing di persada antarabangsa,” katanya.

 

Ketika ditemui pemberita, beliau berharap sasaran memiliki 200,000 ahli SV menjelang tahun 2027 mampu dicapai dengan pertambahan keahlian terutama selepas pelancaran Skuad Muda SV di peringkat sekolah.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor