KERAJAAN NEGERI MENJUNJUNG TITAH DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mempengerusikan mesyuarat penyelarasan usul berbangkit daripada mahasiswa UTHM, bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh. | Foto Ihsan FB Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengenai isu keselesaan dan kemudahan yang dialami mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata satu mesyuarat penyelarasan usul berbangkit telah diadakan yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh.

 

Katanya, mesyuarat itu diadakan susulan lawatan baginda pada Kembara Canselor UTHM sempena Sambutan Ulang Tahun UTHM Ke-30 yang diadakan pada 19 Jun yang lalu.

 

“Hari ini saya dan Norlizah telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan usul yang dibangkitkan oleh mahasiswa UTHM, telah diadakan bagi membincangkan berkenaan beberapa perkara berbangkit.

 

“Ia membabitkan isu Infrastruktur, fasiliti, kemudahan dan pengangkutan bagi menzahirkan keselesaan bagi mahasiswa di UTHM,” katanya di laman Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Sementara itu, Mohamad Fazli turut menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai usul yang dibangkitkan mahasiswa UTHM berkenaan.

 

“Insya-Allah, dengan segala usaha ini dapat memberi keselesaan dan kemudahan kepada ramai pihak dan khasnya kepada warga UTHM,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor