LALUAN ALTERNATIF FOREST CITY DIBUKA LEBIH AWAL


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata Majlis Bandaraya Iskandar Putri (MBIP) serta JKR yang akan melakukan pemantauan secara berkala khususnya pergerakan tanah. | Foto MDJ, Nurina Aisyah.

 

KULAI — Laluan alernatif yang sedang dibina susulan kejadian mendapan tanah di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas dibuka lebih awal untuk digunakan untuk pengguna lalu lintas, hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pembukaan laluan alternatif itu dipercepatkan daripada perancangan asal berdasarkan keadaan struktur tanah semasa dan juga sebagai langkah keselamatan.

 

Bagaimana pun, Mohamad Fazli menjelaskan progres pembinaan laluan alternatif tersebut telah siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya, esok.

 

“Kita percepatkan jalan alternatif yang mana kita jangka mengambil tempoh 48 jam. Tetapi disebabkan situasi sekarang ini kita dapat buka lebih awal.

 

“Walaupun sebenarnya jalan berkenaan belum siap sepenuhnya, tetapi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pemaju mengesahkan laluan tersebut sudah boleh digunakan bermula jam 11.00 pagi tadi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden mendapan tanah di Forest City, kelmarin selepas mengadakan tinjauan ke Stesen Telemetri Sungai Skudai, Skudai yang berfungsi untuk mengesan indeks serta mengeluarkan data pencemaran air sungai.

 

Tambah Fazli, bagaimanapun pembukaan jalan alternatif tersebut terhad kenderaan ringan sahaja, manakala bagi kenderaan berat masih belum dibenarkan.

 

Katanya, sebagai langkah keselamatan, pihak JKR dan pemaju akan melakukan pemantauan serta kawalan dengan meletakkan pengawal keselamatan di laluan alternatif berkenaan.

 

“Pihak Forest City akan jaga (kawal) laluan tersebut… ada juga polis trafik yang membantu, selain pihak Majlis Bandaraya Iskandar Putri (MBIP) serta JKR yang akan turut sama melakukan pemantauan secara berkala khususnya pergerakan tanah,” katanya.

 

Semalam, Media Digital Johor melaporkan pembinaan laluan alternatif di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas telah siap sebanyak 40 peratus.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor