SLDN TAWAR PENDIDIKAN ALTERNATIF KEPADA 25 PELAJAR


Pelajar-pelajar SMK Majidee Baru 2, Johor Bahru yang terpilih untuk menyertai Program SLDN. | Foto MDJ: Nurina Aisyah

 

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bersama Yayasan Johor Corporation (JCorp) dan QSR Store Sdn. Bhd. hari ini, menandatangani Nota Persefahaman (NoU) bagi pelaksanaan program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

 

Program julung kali diadakan di negara ini, bagi sekolah menengah harian sebagai projek rintis melibatkan 25 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail dan SMK Majidee Baru 2, Johor Bahru.

 

“Program ini merupakan inisiatif positif ke arah menyediakan akses kepada pendidikan alternatif terutama kepada golongan B40 untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga,” kata Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani.

 

Tambah beliau, sebanyak enam restoran makanan segera KFC terlibat dengan program SLDN iaitu KFC Larkin Perdana, KFC Seri Gelam DT, KFC Larkin Terminal, KFC City Square, KFC JB Sentral dan KFC Nusa Bestari.

 

“Melalui jalinan kerjasama ini, pelajar yang berjaya menamatkan program akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Sijil Penyertaan daripada QSR, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Matapelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata beliau lagi.

 

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian penghargaan Sekolah Rintis Program SLDN dan Anugerah Kecemerlangan Tuisyen YJC – MPEI bagi kategori pelajar terbaik serta sekolah terbaik.

 

Terdahulu, NoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Anuar Sukiran; Ketua Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman serta Pengurus Besar Kanan QSR Stores Sdn. Bhd., Winston Lee yang disaksikan oleh Rozaini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor