KESELARIAN, KEBERSAMAAN PERLU DEMI MAJU JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Keselarian dan kebersamaan dengan Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mahu melihat infrastruktur dan prasarana selain sektor yang dekat dengan masyarakat ditambah nilai.

“Kita mahu lebarkan lebuh raya kita, menaiktaraf jalan yang kebanyakannya telah rosak, merancakkan ekonomi negeri, meningkatkan mutu pendidikan dan kesihatan dan sebagainya.

“Semua inisiatif ini memerlukan sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam pesanan yang dititipkan menerusi video berdurasi dua minit 58 saat di Facebook rasminya.

Dalam video tersebut, Onn Hafiz turut merayu kepada Bangsa Johor untuk memberi mandat kepada Kerajaan Persekutuan yang sehaluan dan selari dengan Kerajaan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Demi kestabilan dan kemakmuran negeri dan negara yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau menyifatkan PRU-15 sebagai ibu kepada segala pilihan raya yang menentukan Negeri Johor akan terus maju atau mundur.

“(Mundur) disebabkan kehilangan masa empat tahun lagi yang sudah semestinya akan merugikan kita semua.

“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di peringkat persekutuan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor