SOUTHERN REEF DILANTIK URUS TFTB


Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) mengambil inisiatif melantik Syarikat Southern Reef Sdn Bhd untuk mengurus dan mengoperasikan Terminal Feri Tanjung Belungkor (TFTB), Kota Tinggi / Gambar Ihsan LPJ.

 

ISKANDAR PUTERI — Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) mengambil inisiatif melantik Syarikat Southern Reef Sdn Bhd untuk mengurus dan mengoperasikan Terminal Feri Tanjung Belungkor (TFTB), Kota Tinggi.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan feri penumpang di TFTB akan dapat diteruskan dan seterusnya memberi manfaat kepada penduduk dan juga sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, LPJ berkata ketika ini kerajaan juga telah memberi kelonggaran pembukaan pintu masuk ke Malaysia dan ia adalah satu peluang untuk sektor pelancongan dan perhotelan untuk kembali pulih.

“Bermula 1 Februari 2023, LPJ telah melantik operator baharu ini untuk mengendalikan TFTB melalui kaedah Pejanjian Pengurusan selama tujuh tahun.

“Menerusi pelantikan Southern Reef ini secara tidak langsung akan membuka peluang kepada TFTB untuk memberikan perkhidmatan feri penumpang dan seterusnya kekal berdaya saing di dalam menyokong pembangunan di sekitar Desaru,” katanya.

Terdahulu, Majlis penyerahan pengoperasian dan pengurusan TFTB oleh LPJ kepada Syarikat Southern Reef Sdn Bhd telah diadakan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

Majlis disempurnakan oleh Pengurus Besar LPJ, Kamaruzaman Munasir dan Pengarah Southern Reef Sdn Bhd, Kolonel (B) Mohd Jamal Salleh.

Menerusi kenyataan sama, LPJ menegaskan dengan kembali beroperasinya TFTB ia juga akan mampu menyokong industr maritim lain yang terlatak di selatan negeri Johor.

“Prasarana TFTB ini dilengkapi dengan kemudahan pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dengan disokong oleh beberapa jabatan kerajaan lain.

“Selain fungsi utamanya untuk menyediakan perkhidmatan feri penumpang, keberadaan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan di TFTB dengan sendirinya dapat menyokong dan memberikan perkhidmatan berkaitan dengan pelepasan kapal dan kargo di kawasan jeti persendirian berhampiran Tanjung Belungkor serta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor