KEJAYAAN TAHUN LALU PENANDA ARAS PENCAPAIAN SUKAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama penerima Insentif Khas di kalangan Ketua-Ketua Jurulatih Sukan Sempena SUKMA XX MSN 2022.

 

ISKANDAR PUTERI — Kejayaan diraih sepanjang pada tahun lalu, menjadi penanda aras pencapaian sukan di Negeri Johor.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Beliau berkata, dengan kepimpinan persatuan sukan serta kerjasama ketua jabatan, pegawai sukan, pasukan sokongan dan ketua jurulatih, lebih banyak kejayaan akan dihasilkan pada tahun ini dan mendatang.

 

“Temasya SUKMA seterusnya adalah pada tahun 2024. Saya yakin Majlis Sukan Negeri Johor akan menyediakan barisan atlet yang terbaik.

 

“Meskipun ia akan berlangsung pada tahun hadapan, saya berharap semua pihak akan berganding bahu untuk menjayakan misi seterusnya,” katanya, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sempena Majlis Amanat Awal Tahun 2023 dan Majlis Penyampaian Insentif Khas Kepada Ketua-Ketua Jurulatih Sukan Sempena SUKMA XX MSN 2022.

 

Untuk rekod, tahun 2022 menjadi tahun gemilang sukan Negeri Johor dengan pelbagai kejayaan diraih dalam banyak kategori antaranya kecemerlangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam setiap pertandingan.

 

Di samping itu, nama Negeri Johor turut diharumkan apabila Kontinjen Johor mencipta sejarah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama sejak 36 tahun temasya dwi-tahunan itu dianjurkan.

 

Dalam ucapan amanatnya, Mohd Hairi berkata, tahun 2023 juga menyaksikan kalendar Sukan Johor dijangka penuh dengan sasaran penganjuran oleh persatuan sukan.

 

Kata beliau, ia sekali gus memberi tanda positif bahawa persatuan sukan menyahut cabaran program penggredan persatuan Majlis Sukan Negeri Johor yang mensyaratkan penganjuran kejohanan sebagai salah satu kriteria pemarkahan.

 

“Persatuan-persatuan sukan Negeri Johor akan diraikan pada Majlis Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor Tahun 2023 pada 15 Februari ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor