SUARA SAYA UNTUK JOHOR – DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL


Sesi utama audio siar bersama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di program Johor Youth Meetup by OMJ yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kelantangan dan ketegasan dalam keperibadian DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam menyuarakan pendapat atau pandangan adalah demi kepentingan Negeri Johor Darul Ta’zim.

 

Walaupun ia ada kala mengundang rasa kurang senang bagi sesetengah pihak sehingga ada yang sanggup merancang ‘pembunuhan karakter’ semata-mata untuk menjejaskan imej dan karekter DYAM Tunku Mahkota Ismail, namun ia tidak sesekali melemahkan ‘batang tubuh’ baginda kerana ia dilakukan untuk Johor dan Bangsa Johor.

 

Kronologi riwayat hidup Baginda bermula sebagai Raja Muda Johor kemudian sebagai Tunku Mahkota Johor dan kini selaku Pemangku Sultan Johor memperlihatkan konsistensi DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam memperjuangkan nasib rakyat. Ia bukan hanya mengenai soal makan minum kehidupan Bangsa Johor sahaja tetapi lebih dari itu.

 

Suara Baginda Tunku juga boleh didengari apabila ‘anak raja Johor’ itu memperjuangkan pembinaan hospital baharu yang telah disuarakan kepada Kerajaan Persekutuan selama lebih enam tahun sehingga terbinanya Hospital Pasir Gudang yang dijangka siap pada Mac 2025, manakala projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 telah mendapat lampu hijau untuk dijayakan.

 

Tanpa menoleh ke belakang, aspirasi yang dicetuskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail menyebabkan Johor sentiasa menjadi perintis dalam pelbagai aspek. Ia termasuklah usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan bidang pendidikan di Johor menerusi pelbagai inisiatif bukan sahaja melibatkan silibus mata pelajaran, murid tetapi juga turut membabitkan usaha memperkasa institusi guru itu sendiri.

 

Ada siang, ada malamnya. Disayangi dan dibenci adalah lumrah kehidupan. Sebagai seorang ‘hamba Allah’, Baginda Tunku juga tidak terlepas daripada mendapat ujian daripada yang Maha Esa. DYAM Tunku Mahkota Ismail juga tidak terpalit kontroversi dan tuduhan liar para ‘haters’ yang kurang senang dengan prestasi cemerlang Baginda selama ini.

 

Paling tidak diterima akal sihat adalah dimana cubaan mengaitkan nama Baginda dengan insiden serangan asid terhadap Faisal Halim, pemain pasukan Selangor FC yang disifatkan sebagai satu yang ‘hina’ oleh Tunku Mahkota Ismail. Tidak ada sebab musabab untuk melakukannya kerana JDT mempunyai rekod cemerlang 4-0, 4-0, 2-0 setiap kali menentang wakil Lembah Klang itu dimana Faisal Halim turut beraksi dan lebih menyakitkan ‘haters’ apabila Baginda mengklasifikasi itu sebagai tindakan seorang ‘bapuk’ sahaja.

 

Kalaulah benar. Jika benar Baginda ingin bertindak melalui cara ‘ganas’…. ada sasaran yang lebih afdal untuk dilakukan iaitu mereka yang mencuri duit rakyat, merompak khazanah negara, pencetus krisis perlembagaan. Itu yang paling utama untuk dihapuskan dan bukannya Faisal Halim, seorang rakyat biasa yang hanya tahu bermain bola sepak.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor