SUKARELAWAN SOUTHERN VOLUNTEERS BANTU MANGSA BANJIR KILAT


Skuad Tindakan Pantas SV Johor Bahru membantu mengeluarkan air yang naik dan memasuki ke dalam kawasan rumah di Kampung Kurnia.

 

ISKANDAR PUTERI — Prihatin dengan kesukaran dihadapi mangsa banjir kilat semalam, sukarelawan Southern Volunteers (SV) segera membantu mereka yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah telah berkongsi khidmat bakti SV Johor Bahru di Kampung Kurnia.

“Beberapa lokasi di bandar raya Johor Bahru mengalami kenaikan paras air selepas hujan lebat melebihi dua jam turun mengakibatkan beberapa rumah juga terjejas dan turut dinaiki air.

“Alhamdulillah, Skuad Tindakan Pantas Southern Volunteers (SV) Johor Bahru terus ke rumah-rumah mangsa yang terjejas dan membantu mereka mengeluarkan air yang naik dan memasuki ke dalam kawasan rumah di Jalan Kurniawan, Kampung Kurnia sejurus selepas maklumat diterima,” katanya.

Mohd Hairi memberitahu telah dimaklumkan masalah berpunca akibat pertembungan air pasang berlaku pada petang semalam, mengakibatkan air naik dalam tempoh yang pantas.

Sebelum ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin memaklumkan akan memastikan sukarelawan dan Skuad Tindakan Pantas SV dalam kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi bencana.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor