SULTAN IBRAHIM TEGAS DAN PENYAYANG – MB JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar disifatkan sebagai seorang sultan yang tegas, penyayang dan pemurah. | Foto ihsan Facebook Royal Press Office

 

ISKANDAR PUTERI — DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar disifatkan sebagai seorang sultan yang tegas, penyayang dan pemurah.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pendekatan yang diambil oleh Sultan Johor juga selari dengan apa yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri bagi membawa nilai tambah dan menyenangkan kehidupan rakyat Johor.

 

“Ke bawah duli Tuanku adalah seorang yang tegas tetapi dalam masa sama sangat penyayang. Dari segi kewangan, baginda sangat berjaga-jaga tetapi pemurah. Baginda Tuanku merupakan seorang raja yang sangat menjiwai dan memahami apa yang dilalui oleh Bangsa Johor.

 

“Jadi, apabila baginda mengambil pendekatan sedemikian, Alhamdulillah, saya di peringkat Kerajaan Negeri juga selari dengan apa yang baginda hasratkan untuk rakyat Johor,” katanya dalam temubual bersama portal berita MalaysiaGazette, semalam.

 

Onn Hafiz menambah, Keluarga Diraja Johor turut menyumbang hampir RM180 juta bagi membantu rakyat Johor semasa tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.

 

“Angka RM180 juta itu merupakan angka yang lebih besar daripada apa yang Kerajaan Negeri mampu sumbangkan. Sebab itu, hubungan istana dengan rakyat Johor sangat akrab.

 

“Malah, Keluarga Diraja Johor juga adalah yang pertama sekali turun membantu rakyat di pusat pemindahan sementara (PPS) semasa banjir pada setiap tahun. Tak ada ‘diskaun’ langsung dan sebagai Menteri Besar pun saya kena turun sekali,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor