RUMAH TRANSIT PASIR GUDANG BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN


Majlis Pelancaran Rumah Transit Pasir Gudang telah disempurnakan oleh Pengerusi YPG merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharuddin Mohamed Taib, Datuk Bandar MBPG, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman dan Ketua Whip MBPG, Dato’ Mohd Amin Ahmad. | Foto ihsan Facebook Majlis Bandaraya Pasir Gudang

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Yayasan Pasir Gudang (YPG) melancarkan Rumah Transit Pasir Gudang sebagai inisiatif membantu rakyat setempat.

 

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, MBPG menjelaskan Rumah Transit Pasir Gudang ini adalah sebahagian daripada pelan kecemasan dan langkah kesiapsiagaan sebagai tempat perlindungan sementara.

 

“Ia merupakan inisiatif bagi mewujudkan penginapan transit buat keluarga yang ditimpa bencana atau mempunyai keperluan mendesak.

 

“Rumah pangsa dua unit ini juga menjadi tempat perlindungan sementara sekiranya berlaku sesuatu bencana atau tragedi yang tidak dijangka di kawasan ini,” jelas kenyataan di laman Facebook Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

 

Terdahulu, Majlis Pelancaran Rumah Transit Pasir Gudang telah disempurnakan oleh Pengerusi YPG merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharuddin Mohamed Taib.

 

Hadir sama ialah Datuk Bandar MBPG, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman dan Ketua Whip MBPG, Dato’ Mohd Amin Ahmad.

 

Dalam kenyataan yang sama, MBPG juga akan menanggung sepenuhnya kos bekalan elektrik dan air sepanjang tempoh yang ditetapkan.

 

“Walaupun sekadar berfungsi sebagai penginapan sementara bagi satu tempoh yang ditetapkan, ia dijangka dapat memberi kelegaan kepada mangsa yang ditimpa musibah supaya mereka dapat bangkit semula membina kehidupan,” jelas kenyataan itu.

 

Sementara itu, seramai tiga buah keluarga mangsa ribut telah menerima kunci rumah transit pada majlis berkenaan seterusnya menjadi kumpulan pertama yang menerima manfaat daripada inisiatif terbabit.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor