PROGRAM LA21 PUPUK KEMENJADIAN MASYARAKAT TEMPATAN


Program Local Agenda (LA) 21 Inovasi Pengurusan Sisa & Tenaga Diperbaharui yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor di Segamat Central, baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Matlamat agenda Program Johor Bersih akan dapat menunjukkan keberkesanannya dalam tempoh jangka masa panjang jika masyarakat terus bersama-sama menjayakannya.

 

Program Local Agenda (LA) 21 Inovasi Pengurusan Sisa & Tenaga Diperbaharui telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor di Segamat Central, baru-baru ini.

 

Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, berkata kemenjadian dan peranan masyarakat setempat yang dominan dalam pelaksanaan Program LA21 ini amat dititikberatkan sebagai penggerak kepada inisiatif anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

 

“Program LA21 juga dilangsungkan bagi mengkaji isu-isu pembangunan mampan, membentuk pelan tindakan untuk menangani isu-isu yang berkaitan dan seterusnya melaksanakan pelan tindakan tersebut.

 

“Pada program itu, Mohd Jafni melancarkan Buku Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Segamat 2030 dan Buku Segamat ‘Climate Action Plan’,” katanya.

 

Pada program itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Buloh Kasap, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat terpilih menerima Anugerah Institusi Pendidikan Hijau.

 

Sementara itu, Yang DiPertua MPS, Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, berkata pihaknya mengucapkan syabas kepada semua yang terbabit dan seterusnya menjayakan hasrat kerajaan dalam membudayakan Program Johor Bersih ini.

 

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Whip MPS, Ahli-Ahli Majlis MPS serta semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan program ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor