SV LAKSANA MISI PASCA BANJIR DI PENGERANG


Pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) hari ini melaksanakan Misi SV Pasca Banjir di sekitar kawasan Pengerang, Kota Tinggi / Gambar MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

KOTA TINGGI — Seramai 250 anggota Southern Volunteer (SV) hari ini menyertai program Misi SV Pasca Banjir di sekitar kawasan Pengerang bagi membantu penduduk membersihkan kembali kediaman mereka yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) YB Dato’ Hj On Jabbar, berkata inisiatif SV itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung mangsa banjir berikutan keadaan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, misi SV kali ini turut mendapat kerjasama daripada empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) selaku tuan rumah dengan dibantu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Untuk misi pasca banjir ini, kita mempunyai lebih 300 kekuatan termasuk 250 sukarelawan SV dan ditambah oleh kakitangan daripada empat PBT. Program ini turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Skuad sukarelawan hari ini memberi fokus di kawasan Pengerang dan mereka dipecahkan kepada tiga zon iaitu Kampung Bukit Raja, Jalan Balau dan Kampung Baru Sungai Mas iaitu kawasan yang terjejas banjir di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor ketika program Misi SV Pasca Banjir di Kampung Bukit Raja, Sungai Rengit di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin dan Yang Dipertua MPP, Fizwan Dato’ Mohd Rashidi.

On berkata, pada program kali ini skuad SV, PBT dan agensi kerajaan lain akan memberi fokus untuk membersihkan kawasan kediaman yang sudah bebas banjir supaya mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan dapat kembali ke rumah dengan keadaan yang telah dibersihkan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) Misi Pasca Banjir ini dilakukan mengikut kehendak tuan rumah. Jika mereka ingin kami membersihkan luar dan dalam rumah, kita akan lakukan. Begitu juga sebaliknya.

“Misi SV ini juga sebenarnya tidak mempunyai tempoh tertentu kerana ia bergantung kepada keadaan semasa. Kalau boleh selesaikan hari ini, kita habiskan tugas kita walaupun pada waktu malam. Kalau masih banyak, kita boleh sambung kerja pembersihan ini esok,” katanya.

Beliau berkata, sebagai persediaan pihak pengurusan juga menyediakan kemudahan penginapan kepada peserta program ini bagi memastikan perkhidmatan ini dapat membantu semaksima mungkin penduduk yang terjejas di kawasan ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor