SENTIASA WASPADA MESKIPUN BANJIR KIAN PULIH


Meskipun banjir semakin pulih di negeri ini, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berada dalam kesiagsiagaan menghadapi kemungkinan gelombang seterusnya.

 

ISKANDAR PUTERI — Penurunan jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menunjukkan perkembangan positif situasi banjir di Negeri Johor setakat ini.

 

Saban hari, angka mangsa di PPS kian berkurangan dari masa ke masa sekali gus memperlihatkan keadaan semasa semakin pulih.

 

Bagaimanapun, penduduk terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai yang berisiko banjir perlulah sentiasa berwaspada serta dalam keadaan siap siaga berikutan Monsun Timur Laut (MTL) telah diramalkan akan berakhir pada Mac ini.

 

Dengan faktor hujan berterusan serta fenomena air pasang besar, tidak mustahil paras air sungai akan kembali meningkat.

 

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, Ir. Amiruddin Alaldin tidak menolak kemungkinan berlaku gelombang seterusnya berikutan MTL yang belum berakhir.

 

“Sehingga kini, Jabatan Meteorologi memaklumkan bahawa Negeri Johor masih lagi di dalam musim MTL.

 

“Oleh yang demikian kemungkinan berlakunya gelombang-gelombang seterusnya masih ada, dan ini akan diburukkan lagi apabila berlakunya fenomena air pasang besar,” katanya kepada MDJ, hari ini.

 

Beliau turut memaklumkan JPS telah menerima hampir RM70 juta peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selepas musim MTL 2021/2022.

 

“Berdasarkan jumlah tersebut, JPS telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan kerosakan akibat musim MTL 2021/2022 dan juga kerja-kerja penyenggaraan bagi menghadapi musim MTL 2022/2023.

 

“Di samping inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh pihak kerajaan, diharapkan kerjasama dari seluruh rakyat terutama yang mendiami kawasan mudah banjir untuk mengelakkan dari melupuskan sisa domestik ke dalam saliran sekeliling mereka,” katanya.

 

Mengulas mengenai lembangan Sungai Muar, Amiruddin berkata, Sungai Muar sepanjang 240 kilometer bermula dari sempadan Negeri Sembilan dan Pahang.

 

“Memasuki Negeri Johor melalui daerah Segamat dan seterusnya melalui daerah Muar dan Tangkak sebelum ke Selat Melaka.

 

“Sekiranya berlaku kejadian hujan lebat di Negeri Sembilan, maka ianya akan menyebabkan aras sepanjang sungai di Negeri Johor meningkat,” katanya.

 

Selain itu, beliau memberitahu Sungai Muar juga mempunyai kecerunan dasar sungai yang landai.

 

“Oleh yang demikian aliran airnya adalah perlahan dan selalunya mengambil masa hampir 14 hari untuk mengalir dari daerah Segamat sehingga ke Selat Melaka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor