SWEET BANANA BUKAN SEKADAR PISANG GORENG


Norshazlin Izureen, Pengusaha Sweet Banana. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

“Jika dahulu, operasi perniagaan pisang goreng kami terletak di kawasan yang agak sempit dan kurang selesa, namun selepas mendapat tapak baharu kurniaan daripada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menyebabkan perniagaan kami menjadi lebih baik,” kata Pengusaha Sweet Banana, Norshazlin Izureen Abdullah.

 

Norshazlin Izureen, 43, yang mengambil alih perniagaan itu daripada bapa mertuanya, Zulkafli Jafaar, 64, berkata semua itu bertitik tolak sekitar 2012-2013 apabila bisnes keluarganya yang ketika itu beroperasi di Serene Park didatangi oleh tiga pegawai dari Istana Sultan Johor.

Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

“Kedatangan pegawai istana berkenaan adalah untuk memaklumkan titah tuanku bagi meminta bapa mertua saya untuk mengadap baginda di Istana Pasir Pelangi. Pada pertemuan itu, mereka dititahkan oleh tuanku bahawa gerai pisang goreng ini akan dipindahkan ke Stulang Walk, yang terletak berhampiran istana baginda.

 

“Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, bapa mertua saya menjunjung kurnia terbabit dan mula berpindah ke lokasi sekarang. Lebih unik, kurniaan tanah tempat berniaga ini turut diberikan secara adil oleh baginda tuanku iaitu dua unit kepada peniaga Melayu, dua unit kepada peniaga Cina dan satu lagi unit diberikan kepada peniaga India,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Norshazlin Izureen berkata, teruja dengan kurniaan tanpa disangka-sangka daripada DYMM Sultan Johor menyebabkan perniagaan Sweet Banana yang turut dikenali pelanggan sebagai ‘Pisang Goreng TNB’ ini semakin maju yang disifatkan sebagai ‘menumpang’ daulat tuanku yang sememangnya sentiasa kasih akan rakyatnya.

 

“Selain daripada lokasi baharu yang lebih selesa, Stulang Walk ini sendiri mengambarkan aspirasi tuanku iaitu ingin melihatkan rakyat Johor berkecimpung dalam dunia perniagaan selain daripada inspirasi Muafakat Bangsa Johor apabila ia turut melibatkan tiga kaum utama di negeri ini yang bukan sahaja hidup rukun dan damai tetapi juga mampu mencari rezeki bersama-sama,” katanya.

 

Ditanya mengenai kenangannya bersama baginda tuanku, Noorshazlin Izureen secara jujurnya memberitahu beliau sangat teruja dan gembira apabila menerima kehadiran sosok tubuh yang amat disanjunginya di premis perniagaannya di Stulang Walk, beberapa tahun lalu.

 

Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

 

“Tiada angin, tiada ribut, sebuah kereta Proton Satria tiba-tiba berhenti di hadapan gerai jualan kami dan apa yang mengejutkan adalah pemandunya ialah DYMM Sultan Ibrahim. Baginda turun dari kereta dan melambai kepada kami sebelum meminta pegawai baginda untuk membeli pisang goreng di gerai kami.

 

“Baginda membeli beberapa ringgit pisang goreng dengan menggunakan wang bernot RM100 dan kemudiannya memaklumkan bakinya sebagai ‘tips’ jualan kami. Kami rasa bertuah kerana dapat bertemu dengan tuanku dalam keadaan santai tanpa sebarang protokol, apatah lagi kenderaan pengiring sebagaimana kebiasaannya,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor