SYARIKAT PEMAJU HARTANAH MENYUMBANG RM50,000 KEPADA HOSPITAL KULAI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, dekat Kulai.

 

ISKANDAR PUTERI — Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, dekat Kulai, menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada syarikat pemaju hartanah, PH World Property.

 

Selain itu, hospital berkenaan turut menerima penyejuk udara dan kerusi daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

Tian Soon memberitahu kehadirannya bagi menyerahkan penyejuk udara yang dijanjikan dan kerusi bagi keselesaan ruang menunggu serta kegunaan Wad.

 

Menurutnya, manakala sumbangan daripada PH World Property pula bagi kegunaan menaik taraf fasiliti dan menambah peralatan wad.

 

“Saya mewakili pihak hospital dan juga Kerajaan Negeri Johor mengucapkan terima kasih kepada PH World yang bermurah hati dalam usaha bersama menaiktaraf fasiliti hospital. Ini merupakan teladan yang baik kepada semua di mana syarikat menunaikan tanggungjawab sosial kepada komuniti.

 

“Saya berharap lebih banyak peniaga atau sektor swasta akan menampilkan diri supaya bersama kita menyumbang kepada sistem kesihatan Negeri Johor, demi kebajikan Bangsa Johor,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Tian Soon memberitahu dalam kunjungan terdahulu, beliau mendapati hospital berkenaan berhadapan isu dan memerlukan bantuan agar dapat memberi perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada warga Kulai.

 

Ujarnya, pembangunan Kulai yang pesat dengan peningkatan populasi penduduk menyaksikan hospital beroperasi sejak tahun 90-an dan sedang menunggu untuk dinaik taraf serta dilengkapkan dengan peralatan itu sudah melebihi kapasiti sepatutnya.

 

“Saya mendapati ruang kawasan menunggu amat terhad dan telah menyebabkan keadaan di sini sesak dan panas. Selain itu, sebahagian fasiliti di Jabatan Kecemasan ini juga amat usang.

 

“Sebelum ini Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80,000 bagi meningkatkan ruang menunggu dan juga menaiktaraf Jabatan Kecemasan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor