TAMBAHAN PERUNTUKAN RM31.9 JUTA PERKUKUH SEKTOR PERTANIAN JOHOR

Kerajaan Johor menyalurkan tambahan RM31.9 juta bagi memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan sebagai teras kesejahteraan Bangsa Johor. | Foto FB Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM31.9 juta bagi memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan Negeri Johor sebagai antara teras utama dalam menjamin kesejahteraan Bangsa Johor.

 

Peruntukan itu diluluskan bagi tahun 2026 menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini akan dilaksanakan melibatkan 26 program dan projek strategik.

 

Ia akan merangkumi subsektor pertanian, penternakan serta perikanan berdasarkan cadangan yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini, sekali gus menjadi pemacu utama ekonomi negeri selaras dengan agenda Maju Johor 2030.

 

Peruntukan tambahan ini juga dijangka mampu memperluaskan lagi pelaksanaan inisiatif sedia ada termasuk memperkasa keupayaan pengusaha melalui penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti hasil pertanian.

 

Jumlah peruntukan tambahan tersebut menunjukkan peningkatan yang agak ketara berbanding RM23.4 juta pada tahun 2025 yang mencerminkan keyakinan berterusan terhadap potensi serta keupayaan sektor pertanian di Johor.

 

Pada masa sama, sektor pertanian terus menjadi antara fokus utama dalam Belanjawan Johor 2026 dengan peruntukan melebihi RM40 juta melibatkan 25 inisiatif strategi yang menumpukan pembangunan menyeluruh ekosistem pertanian yang merangkumi aspek pengeluaran, pemodenan teknologi, penyelidikan, pemasaran, selain soal kebajikan petani, penternak dan nelayan.

 

Kerajaan Johor juga merakamkan penghargaan kepada KPKM atas peruntukan yang disalurkan dan bertekad untuk memastikan setiap program dapat dilaksanakan secara berkesan demi memperkukuh sektor pertanian serta kesejahteraan Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#PertanianJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor