TANAM SEMANGAT PATRIOTISME, ISI SEMANGAT KEMERDEKAAN – MENTERI BESAR


Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri) melepaskan konvoi sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Johor di Dataran Dewan Jubli Intan Pontian hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

PONTIAN — Masyarakat di Negeri Johor khususnya generasi masa kini diseru menanam semangat patriotisme bagi mengisi semangat kemerdekaan.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cabaran dihadapi pada masa kini adalah menyemarakkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan masyarakat.

 

“Kita punya cabaran adalah berbeza dengan pemimpin atau generasi terdahulu. Kalau dulu, mereka nak cari kemerdekaan tetapi sekarang ini usaha kita adalah mengisi roh kemerdekaan.

 

“Di peringkat Negeri Johor, pengisian itu tertumpu untuk memajukan Johor dari segi pemikiran, infrastruktur, pembangunan dan kerohanian,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor, di sini, pada Khamis.

 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 

Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz memaklumkan sebuah pasar borong baharu bakal dibina di daerah Pontian pada tahun depan, menggantikan prasarana sedia ada.

 

“Kita tengok keadaannya agak daif kerana pasar itu dah lama. Jadi melalui bantuan Kerajaan Persekutan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kita akan gembleng tenaga untuk bina pasar borong baharu,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor