BANGUNAN SULTAN IBRAHIM SENI BINA IKONIK JOHOR


Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di Bukit Timbalan, Johor Bahru. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Oleh: Muhammad Syafiq Mohd Tayeb

 

Bangunan Sultan Ibrahim terletak di Bukit Timbalan, Johor Bahru, merupakan seni bina yang unik dalam lipatan sejarah negeri Johor.

 

Ia bukan sahaja dilihat sebagai bangunan ikonik bagi negeri dengan jolokan ‘permata’ ini, malah ia menjadi titik tolak bermulanya sejarah dan asas pentadbiran moden Kerajaan Negeri Johor.

 

Seni bina yang “tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas ini” terbina kukuh sejak tahun 1936 atau lebih tepat pada era pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar.

 

Bangunan ini kini menjadi lokasi pilihan pengkaji sejarah dari dalam mahupun luar negara, yang suatu ketika dahulu merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor yang utama dengan menempatkan pelbagai jabatan kerajaan selepas Perang Dunia Kedua.

 

Kedudukan lokasi yang strategik di Bukit Timbalan menjadikan bangunan dengan 11 tingkat ini menjadi mercu tanda Johor Bahru sehingga ke hari ini.

 

PUSAT PENTADBIRAN JOHOR

 

Pakar Sejarah Johor merangkap Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman berkata, penting bagi masyarakat memahami sejarah negeri Johor bermula tahun 1528 selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada 1511.

 

“Pada peringkat awal, pusat pentadbiran Johor terletak di Sungai Johor iaitu di Kota Tinggi dan pada akhirnya berpindah ke Bintan, Lingga dan balik semula ke Singapura (dahulu Temasek).

 

“Pada 10 Mac 1855, satu sejarah berlaku apabila Almarhum Sultan Ali Iskandar Shah menyerahkan Kesultanan Johor kepada Almarhum Dato’ Temenggung Tun Daeng Ibrahim Seri Maharaja. Maka, di sinilah Dinasti Temenggung bermula memerintah Kesultanan Johor,” katanya.

 

Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman. | Foto MDJ.

 

Dr. Kassim berkata, sebagai pemerintah Johor, Almarhum telah menubuhkan tiga jabatan iaitu Jabatan Raja, Jabatan Waris Raja dan Jabatan-Jabatan Kerajaan pada ketika itu.

 

“Namun, jabatan-jabatan Kerajaan tidak terlalu banyak pada peringkat awal dan berikutan daripada itu, Almarhum Temenggung Daeng Ibrahim telah mengarahkan pembesarnya mencari penempatan baharu untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Johor.

 

“Maka, usaha dilakukan dan menemui Iskandar Puteri yang kini dikenali sebagai Johor Bahru. Selepas kemangkatan Almarhum Temenggung Daeng Ibrahim, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar telah memodenkan pentadbiran Kerajaan Johor.

 

“Antaranya dengan menubuhkan jabatan-jabatan kerajaan yang terletak di Istana Besar Johor Bahru sebelum menyerahkan kepada Almarhum Sultan Sir Ibrahim,” katanya.

 

Beliau berkata, Almarhum Sultan Sir Ibrahim yang merupakan Sultan Johor ke-20 terus menerajui Kesultanan Johor dengan membuat pelbagai perubahan terutama dari segi pentadbiran sehingga tercetus ilham untuk menbina sebuah pusat pentadbiran kerajaan.

 

“Maka, pada tahun 1936, baginda telah mendapat dukungan daripada para pembesar Johor untuk membangunkan Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di Bukit Timbalan (sebelum ini dikenali sebagai Bukit Bendera atau Bukit Temenggung)”.

 

“Nama Bukit Timbalan diperoleh kerana terdapat Pusat Ketenteraan Johor, di situ iaitu Askar Timbalan Setia Negeri Johor atau dikenali Johor Military Force (JMF) yang ditubuhkan sejak 1886.”

 

“Pada tahun 1937, pelan bangunan yang direka bentuk oleh arkitek Messrs Palmer and Turner telah diterima dan dipersetujui.

 

“Seterusnya, pada 7 November 1938, YAM Tunku Mahkota Johor yang juga Pemangku Raja Johor ketika itu, Tunku Ismail Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar berkenan menyempurnakan upacara menambak tanah di tapak pembinaan bagi menandakan bermulanya kerja-kerja pembinaan,” katanya.

 

Dr. Kassim berkata, bangunan pusat pentadbiran kerajaan itu sebenarnya hampir siap tahun 1940, namun pernah tergendala ketika berlakunya penjajahan Jepun di Tanah Melayu mulai 1941 hingga 1945.

 

“Alhamdulillah, selepas Perang Dunia Kedua, proses menambah baik telah diteruskan dan akhirnya (Almarhum) Sultan (Sir) Ibrahim berkenan untuk membolehkan pejabat kerajaan berpusat di bangunan yang siap sepenuhnya sekitar tahun 1947.

 

“Oleh kerana Kerajaan Johor merupakan sebuah pusat pentadbiran yang moden, maka terdapat institusi Majlis Jumaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang mendukung pemerintahan Kesultanan Johor.

 

“Berdasarkan Perjanjian Inggeris-Johor 11 Disember 1885, Johor diisytiharkan sebagai sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat. Maka, baginda telah menubuhkan Dewan Undangan Negeri Johor terletak di bangunan ini sebelum dipindahkan ke Kota Iskandar,” katanya.

 

Beliau berkata, sehingga kini, Bangunan Sultan Ibrahim kekal sebagai pusat induk Kesultanan Johor Moden. Malah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah memasyhurkan Bangunan Sultan Ibrahim sebagai mercu tanda Johor pada 9 Ogos 1982.

 

Ujarnya, pemasyhuran itu bersempena menghargai jasa dan sumbangan besar Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar.

 

REKA BENTUK MELAYU DAN KOLONIAL

 

Dr. Kassim memberitahu Kesultanan Johor Moden mempunyai kaitan dengan pengaruh Inggeris susulan Perjanjian Persahabatan Kerajaan Johor dengan British pada Disember 1885.

 

Malah perjanjian yang tercatat dalam lipatan sejarah ini turut memberi kesan terhadap seni ukir dan reka bentuk bangunan utama di Johor termasuklah Bangunan Sultan Ibrahim.

 

“Sultan Ibrahim pernah menitahkan empat istilah ‘Johor Mesti Jadi Johor’ bermaksud baginda mahu Johor Maju, tetapi mempunyai citra tersendiri dan kukuh jati diri Johor.

 

“Sebab itu, kita lihat dari segi pemodenan memang berlaku. Konsep yang menggabungkan seni bina Melayu dan Inggeris. Kita lihat seperti Bangunan Dato’ Jaafar di Bukit Senyum, Istana Besar Johor Bahru dan Bangunan Sultan Ibrahim, ia mempamerkan reka bentuk yang gah dan hebat”.

 

“Malah pada suatu ketika, para ahli sejarah telah menyebut Bangunan Sultan Ibrahim sebagai sebuah pusat kuasa dan pusat kedaulatan pemerintahan yang agung pada ketika itu,” katanya.

 

Menurutnya, kepakaran dan kehebatan firma arkitek terkenal Messrs Palmer and Turner telah menjadikan seni bina berkenaan diikitiraf sebagai pusat pentadbiran yang hebat sebelum merdeka.

 

“Malah sampai sekarang kalau kita bandingkan dengan pejabat Kerajaan Negeri lain, Johor mempunyai keunikan tersendiri.

 

“Di atas sebuah bukit dengan keluasan sekitar 60,000 kaki per segi, bangunan ini merupakan bangunan tertinggi sebelum merdeka,” katanya.

 

Beliau berkata, Bangunan Sultan Ibrahim bukan sekadar hebat dari segi seni bina semata-mata, malah bangunan ini menggambarkan nilai citra, kedaulatan, kemerdekaan serta sebuah pemerintahan yang cekap dan berkesan.

 

“Baginda hendak kedaulatan negeri ini seperti mana dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang menegaskan Johor perlu mengasaskan sebuah pemerintahan yang akan dicontohi oleh negeri-negeri lain.

 

“Dan memang betul, bila Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 ditubuhkan, tidak lama kemudian Kesultanan Terengganu telah menubuhkan Undang Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911,” katanya.

 

TANGGA AGUNG

 

Sekiranya ditelusuri kehebatan Bangunan Sultan Ibrahim, beliau memberitahu seni bina ini turut dilengkapi dengan tangga agung yang menjadi saksi kepada acara pemasyhuran dan pengumuman rasmi Kerajaan Negeri Johor.

 

“Dalam konteks sejarah tangga agung, ia menggambarkan sebuah kedaulatan. Berdasarkan catatan sejarah, kebanyakan acara utama seperti pemasyhuran dan pengumuman rasmi akan dibuat di tangga agung ini sebagai tanda mengesahkan acara, peraturan dan undang-undang yang akan dilaksanakan di Negeri Johor.

 

“Pengumuman akan dibuat oleh Menteri Besar Johor kerana mewakili Majlis Mesyuarat Kerajaan. Manakala, Setiausaha Kerajaan akan memberi pengumuman di peringkat jabatan kerajaan bagi memastikan negeri ditadbir dengan cekap untuk kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

 

Lebih menarik, ujarnya, semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar telah tercetusnya ilham baginda agar puteranya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim (kini Sultan Johor) mengukuhkan hubungan antara rakyat dengan Raja.

 

“Maka, diwujudkan acara besar secara tahunan yang dinamakan Kembara Mahkota Johor. Ia menjadi satu refleksi hubungan simbolik antara Raja dengan rakyat dan menatijahkan satu stigma ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’.

 

“Almarhum Sultan Iskandar telah melancarkan buat pertama kalinya program Kembara Mahkota Johor di hadapan tangga agung pada tahun 2001.

 

“Pada ketika itu, Tunku Mahkota Johor menggunakan motosikal berkuasa besar melawat daerah-daerah dalam negeri Johor,” katanya.

 

Dr. Kassim berkata, Bangunan Sultan Ibrahim bukan sekadar menjadi pusat pemerintahan dan pentadbiran, malah juga salah satu pusat kuasa untuk mensejahterakan Bangsa Johor.

 

“Di sini, turut menjadi pusat pengampunan diraja kepada beberapa orang yang menjalani hukuman dan telah dibebaskan untuk menjalani kehidupan biasa.

 

“Saya lihat betapa Bangunan Sultan Ibrahim ini melambangkan Kedaulatan Johor yang paling tinggi dan diserlahkan dalam Perkara 15 dan Perkara 16 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.”

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor