TEKAD JOHOR GANDA HASIL PERTANIAN : MB


Johor bertekad menggandakan hasil pertanian dalam tempoh lima tahun bagi menangani isu keterjaminan makanan dan menjadikan negeri ini sumber utama makanan untuk negara. | Sumber Foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Johor bertekad menggandakan hasil pertanian dalam tempoh lima tahun bagi menangani isu keterjaminan makanan dan menjadikan negeri ini sumber utama makanan untuk negara.

 

Bagi menjayakan tekad tersebut, berlangsung Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Program Kluster Fertigasi Cili, projek ekonomi di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

 

Hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian tersebut adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

“Kerja-kerja di tapak pembinaan di JDV sedang berjalan lancar mengikut jadual dan syarikat-syarikat Kulim (Malaysia) Berhad, A2 Fresh Sdn. Bhd. dan Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd telah dilantik sebagai Kumpulan Induk dan menandatangani Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Komersial.

 

“Manakala Pertukaran Dokumen di antara ECERDC, Pejabat Daerah Segamat dan Grasicili Farm Sdn Bhd bagi Program Fertigasi Cili di Mukim Sermin, Segamat adalah bagi mewujudkan peluang pekerjaan melalui ‘Cluster Farming’ dalam program berasaskan teknologi pintar,” kata Menteri Besar Johor seperti dipetik dari Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, inisiatif kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan syarikat berkaitan, seperti dimeterai dalam usahasama itu mampu membawa Johor ke hadapan dalam mencapai visi ditetapkan.

 

“Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilaksanakan melalui ECERDC di kedua-dua daerah ini amat dialu-alukan dan ia juga akan memberi impak yang besar kepada kumpulan sasar khasnya kumpulan miskin tegar dan golongan B40 dalam menyelesaikan masalah ekonomi harian mereka,” kata beliau lagi.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Dato’ Mohammed Ridha Abd. Kadir serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Dato Baidzawi Che Mat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor