KOORDINASI YANG BAIK KURANGKAN ISU KESESAKAN : ONN HAFIZ


Menteri Besar Johor terus membuat tinjauan keadaan semasa pergerakan lalu lintas di Kompleks CIQ BSI bersama jabatan dan agensi berkaitan, awal pagi tadi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memberikan komitmen berterusan dalam memastikan kelancaran aliran trafik di pintu sempadan negara, bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia menerusi negeri ini.

 

Keprihatinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap aduan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) diterjemahkan dengan tinjauan dan turun padang dilakukan.

 

Malah, kesungguhan beliau dalam mengutamakan keselesaan pengguna di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar mendapat kerjasama Kerajaan Persekutuan serta pelbagai agensi dan jabatan terlibat.

 

Terbaharu, Menteri Besar Johor terus membuat tinjauan keadaan semasa pergerakan lalu lintas di Kompleks CIQ BSI bersama jabatan dan agensi berkaitan, awal pagi tadi.

 

Beliau berkeyakinan keberkesanan penyelarasan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pengguna tanpa mengesampingkan kebajikan petugas di pintu sempadan negara.

 

“Awal pagi tadi saya sempat meninjau lagi keadaan di BSI. Saya yakin bahawa pemantauan dan koordinasi yang baik dapat mengurangkan isu kesesakan ini.

 

“Selain itu, saya juga berharap agar kerja-kerja penyelenggaraan di BSI dapat dilakukan dengan lebih efisien,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Selain itu, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat dalam menjayakan komitmen kerajaan negeri melancarkan aliran trafik di pintu sempadan negara.

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pegawai imigresen dan kastam, petugas PDRM, RELA, JKR dan semua pihak yang membantu bagi mengurangkan kesesakan. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor