TIADA LAGI PROJEK SAKIT PR1MA MENJELANG 2024


Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan tiada lagi projek sakit PR1MA menjelang tahun 2024. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

KOTA TINGGI –– Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan tiada lagi projek sakit PR1MA menjelang tahun 2024.

 

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, terdapat 17 projek sakit dikenalpasti dengan lapan daripadanya setakat ini, telah siap sepenuhnya termasuk proses penyerahan kunci.

 

“Setakat ini, tidak sampai setengah tahun, lapan projek sakit telah siap dan kunci telah diserahkan. Tiga lagi dijangka disiapkan tahun ini dan bakinya tahun hadapan.

 

“Menjelang tahun 2024, memang tiada lagi projek sakit. Ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI yang sentiasa mengangkat martabat, menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat,” katanya di Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Residensi PR1MA Kota Tinggi, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Kor Ming berkata, antara projek sakit PR1MA berjaya disiapkan adalah Residensi Taman Raia Sentosa dan Residensi Sitiawan Fasa 2 di Perak; Residensi Woodford Estate Fasa 1 dan Residensi Ranggu di Sabah, Residensi Seri Mahkota di Kedah dan Residensi Bandar Bukit Mahkota di Selangor.

 

“Di Johor pula, melibatkan projek Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah, manakala Residensi Larkin Indah dijangka siap pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

 

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau memberitahu Residensi PR1MA Kota Tinggi terdiri 625 unit rumah teres yang dilengkapi fasiliti untuk kemudahan penduduk seperti tadika, dewan serbaguna, taman permainan dan surau.

 

Ujarnya, projek perumahan yang dikenalpasti sebagai Projek Sakit Tahap 1 itu berjaya disiapkan melalui Program Pemulihan Projek Sakit KPKT.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor