TINGKAT KECEKAPAN CIQ BANGUNAN SULTAN ISKANDAR AIDILFITRI INI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kepada pemberita selepas selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks CIQ BSI, hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menjangkakan kecekapan pengoperasian Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mencapai 100 peratus menjelang tempoh perayaan Aidilfitri ini.

 

Berdasarkan tinjauan dan pemantauan dilakukan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu kadar kecekapan setakat ini, baru mencapai 80 peratus.

 

Justeru, beliau menjemput Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Dato’ Ruslin Jusoh meninjau sendiri bagi membantu meningkatkan kelancaran pengoperasian pintu masuk negara itu.

 

“Dari segi lorong-lorong motosikal dan kereta seperti yang disebut, hanya pada kecekapan 80 peratus. Saya menjangkakan akan menjadi 100 peratus dalam beberapa hari akan datang.

 

“Oleh sebab itu komitmen daripada Ketua Pengarah Imigresen sangat penting untuk beliau lihat sendiri apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks CIQ BSI, hari ini.

 

Onn Hafiz turut prihatin dan cakna mengenai kebajikan warga Jabatan Imigresen yang disifatkan sudah bertungkus lumus berhadapan dengan kemasukan orang ramai di sana.

 

Beliau berharap perkara melibatkan kebajikan staf jabatan berkenaan termasuklah tuntutan kerja lebih masa seperti yang dilaporkan mengambil masa terlalu lama, dapat diselesaikan segera.

 

“Saya difahamkan angkanya tinggi (anggaran kemasukan CIQ BSI). Dilaporkan kemasukan individu masuk dan keluar boleh cecah 2 juta kenderaan dan manusia keseluruhan.

 

“Angka yang sangat tinggi. Sebab itu, kita kena beroperasi pada kadar 100 peratus kecekapan. Kita tidak boleh mempunyai sebarang kelemahan dari segi kaunter dan tenaga kerja dekat sini,” katanya.

 

Selain itu, Menteri Besar Johor juga mahu isu berbangkit yang boleh menjejaskan kelancaran pengoperasian di Kompleks CIQ BSI diselesaikan dalam tempoh terdekat.

 

“Untuk (Kompleks CIQ) BSI ini, saya harap (orang ramai) kena banyak bersabar. Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan semua kaunter dibuka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor