TOURISM JOHOR ANJUR DURIAN RETREAT BERSAMA MEDIA
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menerusi Tourism Johor menganjurkan program lawatan suai kenal ‘Majestic Johor Durian Retreat’ Bersama Media di Segamat pada 22 dan 23 Jun lalu.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, program ‘famtrip’ sempena musim ‘raja buah’ itu merupakan inisiatif bagi merancakkan pelancongan negeri ini, dengan mempromosikan Segamat sebagai destinasi durian di negeri ini.
Menurutnya, menerusi program berkenaan juga, Tourism Johor memperkenalkan destinasi tarikan pelancongan menarik di sekitar daerah tersebut khasnya Labis.
“Sebagaimana sedia maklum, daerah Segamat yang amat sinonim dengan daerah ‘raja buah’. Pastinya, penganjuran program ‘famtrip’ ini dapat memberi hebahan dan makluman mengenai pelancongan daerah Segamat dengan adanya penglibatan daripada pihak media cetak, elektronik dan juga pempengaruh yang turut serta menyertai lawatan ‘famtrip’ ini.
“(Berdasarkan) sumber maklumat daripada Jabatan Pertanian Negeri Johor, Johor merupakan pengeluar durian terbesar di negara ini, diikuti Pahang dan Sarawak. Manakala di Johor, daerah Segamat adalah daerah pengeluar durian terbesar diikuti Muar, Tangkak dan Batu Pahat,” katanya.
Suhairi berkata, program selama dua hari itu turut disertakan aktiviti menarik dengan pelbagai pengisian yang disusun oleh Tourism Johor.
Antaranya, lawatan ke Homestay Smilian, FELDA Tenang yang padat dengan aktiviti kampung seperti anyaman rotan, pembuatan dan permainan gasing, melihat ternakan ikan baung dan ayam serama, pembuatan kraftangan berasaskan kulit oleh pengusaha Orang Kurang Upaya (OKU), bermalam di Cabin Hills Labis Eco Resort serta lawatan ke Kolam Air Panas Labis dan Taman Eko Rimba Taka Melor.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor