JOHOR LAKSANA KEMPEN SEMAK ARAH KIBLAT MINGGU DEPAN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kempen itu digerakkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) bersama Jabatan Mufti Johor (JMJ) dengan pejabat kadi daerah serta pegawai dan penggerak masjid dan surau. | Foto ihsan: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan melaksanakan kempen semakan arah kiblat melibatkan masjid dan surau, bangunan kerajaan serta premis persendirian secara berfasa bermula minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kempen itu digerakkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) bersama Jabatan Mufti Johor (JMJ) dengan pejabat kadi daerah serta pegawai dan penggerak masjid dan surau.

 

Menurutnya, inisiatif melaksanakan kempen berkenaan susulan kebimbangan dizahirkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Malaysia, Dato’ Dr. Nooh Gadot mengenai isu arah kiblat yang tersasar.

 

“Sekalipun negeri itu bukan Negeri Johor, saya akan menggerakkan satu kempen daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan juga Jabatan Mufti Negeri Johor untuk memantau dan menyelia kedudukan kiblat di semua tempat termasuk juga memberi perkhidmatan kepada orang awam.

 

“Saya percaya perkhidmatan kepada orang awam ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama pejabat-pejabat kadi daerah dengan menggerakkan semua penggerak-penggerak masjid di peringkat DUN dan juga daerah serta pegawai-pegawai masjid dan surau di setiap kampung dan kawasan,” katanya.

 

Mohd Fared berkata, setakat ini, tiada laporan mengenai isu arah kiblat yang tersasar di Johor, namun umat Islam di negeri ini digesa menyemak semula dengan garis panduan dan juga tunjuk ajar daripada pihak bertauliah.

 

“Permulaannya kita akan utamakan dahulu kepada premis-premis kerajaan dan juga kepada sekolah-sekolah yang memang menjadi tumpuan tempat awam. Kemudian, daripada itu barulah kita menyebar kepada rumah-rumah persendirian termasuk rumah-rumah kita di kampung dan juga taman masing-masing.

 

“Ia pasti mengambil tempoh kempen yang panjang, tapi tak apalah. Biar semua ada kesedaran. Daripada kita tidak menggerakkan, itu satu keadaan yang tidak baik. Dan kita tahu aplikasi (kiblat) yang dibenarkan juga boleh membantu, tetapi biarlah saya tunjukkan kesungguhan kerajaan negeri,” katanya.

 

Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Muzakarah MKI Malaysia akan memanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri bagi membincangkan mengenai isu arah kiblat yang tersasar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor