TRANSFORMASI PENDIDIKAN JOHOR DIPERKASA MENERUSI SRBJ

Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan menerusi pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak di negeri ini. / Foto MDJ Nurina
#JohorBahru – Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan menerusi pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak di negeri ini.
Inisiatif cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor itu diterjemahkan menerusi lawatan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 yang terpilih sebagai SRBJ, baru-baru ini.
Lawatan berkenaan bertujuan untuk meninjau sendiri pelaksanaan agenda pembaharuan pendidikan negeri, termasuk penambahbaikan kemudahan di kedua-dua sekolah seperti pusat sumber, bilik guru, bilik pendidikan khas autisme, dewan tertutup serta kelas rintis.
Pada masa sama, kebajikan tenaga pengajar turut diberi perhatian menerusi pemberian Elaun Guru SRBJ sebanyak RM500 sebulan sebagai penghargaan terhadap komitmen guru berkenaan dalam menjayakan transformasi pendidikan berkenaan.
Selain itu, lawatan ke SMK Seri Kota Puteri 2 turut menyaksikan pelaksanaan inisiatif Makan Tengah Hari SPM yang disediakan Kerajaan Negeri bagi menyokong persediaan calon peperiksaan, termasuk 103 calon peperiksaan awam itu di sekolah berkenaan yang turut menerima Kit SPM Maju Johor 2026.
Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan usaha dalam memperkasa sektor pendidikan agar setiap anak Johor mendapat akses kepada peluang pembelajaran yang terbaik, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing pada masa akan datang.
#SRBJ
#PendidikanBangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



