KLUANG REKODKAN RM4.95 BILION NILAI JUALAN PERTANIAN, TERTINGGI DI JOHOR

Berdasarkan Laporan Banci Pertanian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pertanian di daerah Kluang turut mencatat nilai pengeluaran sebanyak RM5.46 bilion dan pendapatan RM4.63 bilion, dengan penglibatan seramai 40,663 tenaga kerja pertanian. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Daerah Kluang merekodkan nilai jualan pertanian tertinggi di Johor sebanyak RM4.95 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi pertanian di negeri ini.
Berdasarkan Laporan Banci Pertanian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pertanian di daerah Kluang turut mencatat nilai pengeluaran sebanyak RM5.46 bilion dan pendapatan RM4.63 bilion, dengan penglibatan seramai 40,663 tenaga kerja pertanian.
Melalui Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), Kerajaan Negeri menetapkan hala tuju Kluang sebagai Hab Pertanian dan Agropemprosesan dengan memberi penekanan kepada usaha pemodenan pertanian, penerapan teknologi, mekanisasi serta pembangunan industri hiliran.
Kekuatan sektor berkenaan turut disokong oleh kepelbagaian komoditi seperti kelapa sawit, nanas, sayur-sayuran dan buah-buahan yang menjadi asas kepada pembangunan industri agromakanan dan agropemprosesan.
Pendekatan JETP ini turut meliputi penggunaan teknologi pertanian pintar seperti dron, robotik dan Internet Kebendaan (IoT), selain memperkukuh aktiviti pemprosesan makanan dan minuman, pembungkusan, rantaian sejuk, pemasaran serta pengedaran hasil pertanian, termasuk di kawasan Kahang.
Terdahulu, YB Tuan Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, menjawab soalan YB Tuan V. Rugendran, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kahang, berkaitan perancangan JETP bagi produk hasil bumi dan pertanian di kawasan berkenaan pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


