RTS LINK JOHOR BAHRU–SINGAPURA DISOKONG PELAN PENGANGKUTAN MENYELURUH

Kerajaan Negeri turut memperkukuh jaringan pengangkutan awam menerusi Komuter Shuttle Selatan, Bas.my, Bas Muafakat Johor, Grab Shuttle dan kemudahan Park & Ride bagi menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengguna. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri kini sedang memperkukuh persediaan menghadapi pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru–Singapura yang dijadual bermula pada Februari 2027 menerusi sokongan sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, aspek penyuraian trafik serta pembangunan infrastruktur jalan raya secara berfasa.
Antara langkah yang dirancang termasuk penyelarasan pergerakan penumpang di sekitar Stesen RTS Bukit Chagar, penyediaan perkhidmatan bas pengantara, kemudahan mengambil dan menurunkan penumpang serta hubungan perjalanan dari stesen ke destinasi akhir.
Kerajaan Negeri turut memperkukuh jaringan pengangkutan awam menerusi Komuter Shuttle Selatan, BAS.MY, Bas Muafakat Johor, Grab Shuttle dan kemudahan Park & Ride bagi menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengguna.
Bagi mengurangkan kesesakan, sistem Lampu Isyarat Pintar telah dilaksanakan di 210 persimpangan, manakala laluan kontra Jalan Skudai serta pelaksanaan Tidal Flow di Tambak Johor turut menjadi antara langkah penyuraian trafik.
Sementara itu, kadar tambang rasmi RTS Link bagi perjalanan sehala dan pergi balik masih dalam perbincangan serta penelitian pihak berkaitan, dengan pengumuman rasmi mengenainya dijangka dibuat oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada Januari 2027.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, menjawab soalan berkaitan perancangan menangani peningkatan kesesakan lalu lintas di Greater Johor Bahru pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


