TUANKU MINAT BARANGAN ANTIK
Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair
“Tuanku berpesan kepada saya supaya mencari barang Johor. ‘Collect’ barang (identiti) Johor,” kata pemilik Kedai Barangan Lama dan Antik Addy’s Vintage, Abdul Rahim Hashim.
Pesanan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu bagaikan kata-kata hikmat kepada diri Abdul Rahim, 42, yang beriltizam untuk cuba mencari khazanah lama khususnya barangan yang mempunyai hubung kait dengan kehidupan Bangsa Johor pada zaman lampau.
Katanya, tekad azam itu juga hadir dengan tindakan baginda yang turut ‘memborong’ semua barangan jualan di Addy’s Vintage pada 2016 yang ketika itu beroperasi di premis lama yang terletak di Jalan Sisi, Muar.
Mengimbau kembali saat itu, beliau sama sekali tidak menduga keberangkatan mengejut DYMM Sultan Ibrahim ke kedainya kerana tidak mendapat sebarang makluman awal berkaitan kunjungan baginda ke kedainya.
“Waktu tuanku berangkat, hanya saya dan seorang pekerja sahaja yang ada di kedai. Baginda terus datang bersama beberapa pegawai tanpa memberitahu dengan keadaan saya yang agak terkejut kerana menerima ‘pelanggan’ yang berstatus seorang Sultan. Baginda kemudian masuk ke dalam kedai dan melihat semua barang lama dan juga antik yang terdapat di dalam kedai.
“Saya agak ‘kaget’ kerana inilah kali pertama saya bertentang mata dengan tuanku, memang rasa gementar dan gugup. Baginda kemudian bertanya kepada saya berapa kos (modal) saya habiskan untuk semua barang ini dan saya menjawab dengan jumlah sekian-sekian,” katanya.
Apa yang mengejutkan Abdul Rahim ialah apabila tuanku bersetuju untuk memborong semua barangan lama dan beberapa barangan antik yang masih terdapat di kedai pada waktu itu.
“Apa yang saya ingat, waktu itu saya mempunyai indik (penumbuk padi lama), perahu jalur yang diperbuat dari kayu balak dan beberapa barangan lain. Mungkin juga terdapat barangan ‘rare’ pada telek pandangan baginda pada barang jualan kami ini kerana saya pasti tuanku mempunyai kearifan dan pengetahuan mengenai barangan berkenaan.
“Semua barangan itu kemudiannya diambil oleh pekerja dari istana dan pihak tuanku juga meminta saya ke Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru untuk mengambil wang pembelian berkenaan. Alhamdulillah, bukan sahaja barang terjual tetapi pada masa sama, saya dapat berpeluang untuk menjejakkan kaki ke dalam istana,” katanya.
Walaupun perniagaannya kini sudah berpindah ke Jalan Abdullah yang terletak tidak jauh daripada premis sebelumnya, Addy’s Vintage masih mendapat kunjungan selanjutnya daripada DYMM Sultan Johor.
“Tuanku sekali lagi pernah berkunjung ke kedai baharu ini. Kali ini pun tuanku datang secara mengejut dan datang melihat-lihat barang-barang lama, sebelum baginda beredar tidak lama kemudian.
“Cuma kali ini tuanku berpesan supaya mencari barang Johor, kumpul barang Johor seperti buku dan lukisan Johor. Insyallah, saya akan cuba melaksanakan titah amanat tuanku itu kelak,” katanya.
#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor