UNESCO JEMPUT PAKAR TVET UTHM KONGSI IDEA


Prof Madya Ts Dr Affero Ismail ketika menghadiri Persidangan TVET Unesco di Bonn, Jerman / Foto ihsan UTHM.

 

BATU PAHAT — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah ke persada antarabangsa apabila kepakarannya dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) mendapat perhatian dunia.

Ia terbukti apabila Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjemput pakar TVET UTHM, Prof Madya Ts Dr Affero Ismail sebagai panel dalam persidangan TVET di United Nation Campus di Bonn, Jerman baru-baru ini.

Dr Affero yang juga pensyarah di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM, berkata persidangan dua hari itu dalam rangka membincangkan Pelan Strategik UNESCO Untuk TVET (2022-2029).

“Objektif utama persidangan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan negara anggota dan komuniti antarabangsa mengenai strategi baharu UNESCO dalam bidang TVET.

“Selain itu, persidangan terbabit juga turut membincangkan mengenai kepentingan memperbaharui semula pendidikan dan kemahiran untuk pekerjaan serta kehidupan,” katanya.

Pada persidangan yang berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober lalu itu turut disertai pegawai tertinggi UNESCO, penggubal dasar, pemegang kepentingan TVET, guru, jurulatih dan pengamal TVET.

Selain itu, persidangan yang berlangsung secara bersemuka dan dalam talian itu juga turut membabitkan rakan pembangunan yang merangkumi kumpulan pelbagai hala, organisasi serantau, penderma, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan rangkaian belia.

Pakar TVET UTHM itu berkata, beliau berharap sumbangan idea dan pendapat mengenai pelan strategik yang dirangka itu akan dapat memartabatkan lagi sistem pendidikan TVET.

Katanya, ia secara tidak langsung menjadikan UTHM sebagai institusi pengajian TVET global yang dikenali dunia.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor