USAHA MEMBASMI MISKIN TEGAR JOHOR DITERUSKAN


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail meninjau penduduk tergolong dalam kelompok miskin tegar di daerah Tangkak | Foto Ihsan, FB Khairin-Nisal Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Usaha Kerajaan Negeri Johor untuk membasmi miskin tegar di Johor kini diteruskan ke tiga mukim kampung di daerah Tangkak.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata seramai 133 ketua isi rumah dari kalangan miskin tegar direkodkan sejak Mesyuarat Penyelarasan Strategi Pembasmian Miskin Tegar Negeri Johor diadakan pada 17 April lalu.

 

“Saya bersama beberapa agensi Kerajaan Negeri membuat tinjauan serta berjumpa dengan penduduk yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar dari rumah ke rumah di mana tiga mukim sasaran telah dilawati di dalam Daerah Tangkak,”

 

“Seramai 133 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar Produktif telah direkodkan dalam tempoh 30 hari sejurus mesyuarat berkenaan diadakan pada 17 April lalu dan mereka akan dibantu oleh Kerajaan Negeri bagi mengeluarkan mereka dari kemiskinan tegar,” katanya di Facebook rasminya.

 

Menurut Khairin-Nisa, Kerajaan Negeri akan membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan yang sesuai bergantung kepada kecenderungan dan kemampuan masing-masing.

 

Ujarnya, pendidikan anak-anak yang berada dalam golongan tersebut juga akan dibantu melalui biasiswa yang disediakan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

 

“Untuk makluman, PERKESO akan mengadakan MYFutureJobs Career Fair di Dewan Jubli Intan, Muar pada 28 Mei ini dengan menyediakan sebanyak 8,000 jawatan kosong daripada 18 syarikat.

 

“PERKESO turut menyediakan kaunseling bagi meningkatkan motivasi mereka yang ingin mencari atau memulakan pekerjaan,” katanya.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam usaha membasmi miskin tegar di negeri ini, sekali gus berharap ianya dapat diselesaikan secara produktif dalam tempoh satu tahun.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor