BERSAMA LINDUNGI ALAM, HIDUPAN LIAR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, menyeru anggota masyarakat untuk berganding bahu bersama kerajaan dan agensinya dalam memastikan kelestarian alam semulajadi dapat dipertahankan. | Foto ihsan Facebook Raven Kumar Krishnasamy

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dalam melindungi dan memelihara hidupan liar khususnya haiwan terancam daripada kepupusan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata justeru pihaknya berharap seluruh anggota masyarakat bukan sahaja diberi kesedaran tetapi turut berganding bahu bersama kerajaan dan agensinya dalam memastikan kelestarian alam semulajadi ini dapat dipertahankan.

 

“Johor adalah sebuah negeri yang bertuah kerana mempunyai kawasan hutan dan kawasan perairan yang telah diwartakan serta dirizabkan. Ia bagi memastikan bahawa hidupan liar dan marin terancam terus dipelihara serta dipulihara bagi menjamin kelestarianya.

 

“Kawasan litupan hutan terpenting di Johor adalah di dalam kawasan ‘Central Forest Spine’ yang merangkumi kawasan Taman Negara Johor Endau-Rompin yang teletak di daerah Mersing dan Segamat sehingga ke Hutan Simpan Panti, di Kota Tinggi,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

 

Raven Kumar berkata, kawasan hutan yang luas ini juga penting kerana mamalia besar seperti harimau dan gajah memerlukan ruang lingkup yang besar untuk mendapatkan sumber makanan dan kelangsungan hidup.

 

“Sehubungan itu, bagi memastikan kelestarian haiwan terancam dan manusia wujud dalam satu ekosistem yang sama, kempen kesedaraan mengenai pentingnya menangani situasi hidupan liar terancam seperti gajah harus dijelaskan kepada masyarakat.

 

“Setiap daripada kita boleh memainkan peranan dalam usaha mengurangkan impak kepupusan haiwan terancam ini. Antaranya ialah dengan menyertai kempen-kempen kesedaran yang dianjurkan serta tidak membeli sebarang bahagian haiwan terancam yang diperdagangkan.

 

“Lebih penting, mereka juga perlu segera memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat tentang pihak tidak bertanggungjawab membela atau menjual haiwan terancam ini,” katanya.

 

Beliau berkata, perkara ini adalah menyalahi undang-undang mengikut Akta Hidupan Liar 2022 dan Akta Perikanan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda.

 

“Saya sebagai EXCO yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar menyeru kepada semua untuk sama-sama membanteras aktiviti yang boleh menyebabkan kepupusan haiwan terancam ini terutamanya gajah, harimau, terumbu karang dan penyu,” katanya.

 

#MediaDigialJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor