USAHA MENINGKATKAN SYIAR ISLAM JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengetuai delegasi Kerajaan Johor melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya, hari ini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya, hari ini.

 

Beliau yang mengetuai delegasi Kerajaan Johor telah bermesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

 

Menurutnya, mesyuarat tersebut bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal agama Islam di Johor.

 

“Pertamanya kerajaan negeri menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas dana bantuan RM1.25 juta bagi membantu meringankan beban Bangsa Johor yang terkesan akibat banjir di negeri ini.

 

“Alhamdulillah, difahamkan MAIWP akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) bagi menyediakan keperluan barang makanan asas, peralatan mencuci rumah, serta barang-barang lain seperti selimut, dapur gas, periuk nasi dan sebagainya,” kongsi beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Na’im dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas sokongan terhadap lanjutan Program Intervensi Tahfiz.

 

“Selain itu, jutaan terima kasih kepada YB Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana menyokong lanjutan Program Intervensi Tahfiz, iaitu program mewajibkan pelajar tahfiz di Madrasah Tahfiz Swasta berusia 17 tahun ke atas untuk menduduki SPM.

 

“Untuk makluman, program ini amat penting bagi memastikan keseimbangan pendidikan ukhrawi dan duniawi dalam kalangan pelajar-pelajar tahfiz, bagi membolehkan mereka dapat menepati kehendak pasaran pekerjaan semasa,” kata beliau.

 

Di samping itu, mewakili kerajaan negeri, Onn Hafiz juga mengucapkan terima kasih kepada Mohd Na’im dan KPM berhubung permohonan peruntukan tambahan bagi pembinaan Maahad Tahfiz Sains Antarabangsa.

 

“Saya berharap hasil perbincangan kali ini ini dapat memberi manfaat kepada usaha meningkatkan syiar agama Islam di negeri ini, selain menjadikan Johor peneraju dalam pendidikan Islam di negara ini,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor