PEMBUDAYAAN SUKAN DI KALANGAN MASYARAKAT SECARA TOTAL


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berswafoto bersama jemputan yang hadir ke Majlis Amanat Awal Tahun 2023 dan Majlis Penyampaian Insentif Khas Kepada Ketua-Ketua Jurulatih Sukan Sempena SUKMA XX MSN 2022.

 

ISKANDAR PUTERI — Penglibatan golongan muda dalam kegiatan sukan amat digalakkan agar pembudayaan sukan di kalangan masyarakat dapat diterapkan secara menyeluruh demi menjadikan Johor sebagai negeri kuasa besar sukan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, aktiviti sukan tidak eksklusif kepada ahli sukan sahaja.

 

“Majlis Sukan Negeri berperanan membangunkan sukan melalui penyediaan atlet berprestasi tinggi selain menganjurkan sukan pertandingan yang diuruskan mengikut peraturan serta syarat persekutuan sukan dan jawatankuasa olimpik baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

 

“Manakala Jabatan Belia dan Sukan Negeri berperanan menyelaras sukan untuk semua iaitu kegiatan fizikal merangkumi segala aktiviti sukan, permainan tradisional, rekreasi dan kecergasan dengan tujuan menggalakkan penyertaan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat umum.

 

“Dengan kerjasama erat oleh jabatan-jabatan sukan, jabatan belia di negeri ini, saya percaya pembudayaan sukan ini dapat direalisasikan. Bermula dengan warga-warga jabatan untuk menyambut baik usaha ini,” katanya ada Majlis Amanat Awal Tahun 2023 dan Majlis Penyampaian Insentif Khas Kepada Ketua-Ketua Jurulatih Sukan Sempena SUKMA XX MSN 2022.

 

Beliau turut menyeru semua jabatan dan agensi di bawah portfolionya supaya aktif dalam menyalurkan maklumat serta mengemaskini perkembangan di media sosial.

 

“Saya ingin menyeru kepada semua untuk bersama bertanggungjawab terhadap imej dan usaha jabatan serta agensi dalam mempromosi sukan di Negeri Johor.

 

“Anda merupakan salah satu medium promosi berkesan untuk menguar-uarkan apa sahaja program dan juga acara yang dianjurkan oleh jabatan, agensi mahupun Kerajaan Johor,” katanya.

 

Atas sumbangan diberikan oleh Southern Volunteers (SV) sepanjang berlaku bencana di Negeri Johor, Mohd Hairi juga merakamkan penghargaan atas komitmen yang telah diberikan.

 

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kepimpinan Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) yang memimpin sukarelawan SV yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC) atas bantuan yang disalurkan kepada rakyat yang terjejas.

 

“Tidak lupa juga buat Jabatan Belia Sukan Negeri Johor yang turut bersama menggembeling sukarelawan satria di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk sama-sama membantu apabila diperlukan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor