UTHM CEMERLANG DI REGATTA ROWING KEBANGSAAN 2022
ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga jaguh dalam bidang sukan.
Ini dapat dibuktikan apabila pendayung institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berpangkalan di Batu Pahat berjaya memonopoli pingat emas dalam Kejohanan Regatta Rowing Putrajaya yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober lalu.
Jurulatih Mendayung UTHM, Aizat Md Zaini, berkata semua atlet universiti itu telah membuat persiapan rapi dengan menjalankan latihan intensif sepanjang cuti semester bagi menghadapi kejohanan berkenaan.
“Alhamdulillah, pihak kami amat bersyukur apabila atlet UTHM ini dipilih oleh Persatuan Rowing Johor (JoRA) untuk menyertai acara bagi kategori terbuka sekali gus mewakili negeri Johor.
“Selain pendayung UTHM, beberapa alumni kami yang masih aktif dalam sukan mendayung seperti Dr Mohd Zulfadli Rozali turut mewakili Johor dalam acara terbuka sekali gus membantu pasukan Johor meraih tiga emas,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman rasmi UTHM.
Pada kejohanan itu, UTHM berjaya menuai empat pingat emas dan dua pingat perak bagi kategori IPT dalam acara mendayung peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA).
Kejohanan yang diadakan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Persatuan Rowing Putrajaya dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mempertandingkan 28 acara membabitkan empat kategori iaitu Master, Terbuka, IPT dan Remaja.
Pencapaian yang memberangsangkan itu secara tidak langsung membantu kepada penjenamaan UTHM sebagai antara kuasa besar dalam sukan air di Malaysia, selain pada masa sama dapat membantu pihak universiti melahirkan pelajar yang holistik.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor