UTHM LAHIR BAKAT DIGITAL
Oleh Badrul Kamal Zakaria
BATU PAHAT — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) perlu memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang saintifik dan tenikal berkemahiran tinggi. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peranan tersebut sekali gus akan membantu usaha kerajaan negeri yang sedang giat merancang aspek pendigitalan dalam memperkasakan agenda Maju Johor.
“Atas sebab itulah Johor memerlukan kepada bakat atau ‘talent pool’ seperti anda semua (pelajar UTHM) untuk sama-sama melaksana perancangan ini. Namun lebih daripada itu, bayangkan jika kita dapat bangunkan lebih ramai pakar digital untuk memenuhi pasaran industri serta permintaan para pelabur, terutamanya bagi sektor berteknologi tinggi.
“Ekonomi dan pelaburan Johor sudah tentu akan meningkat dengan lebih lagi, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-30 UTHM dan Pelancaran Huawei AI Lab di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norliza Noh; Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad; Naib Canselor UTHM, Prof Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim; Timbalan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias; Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies Malaysia Sdn. Bhd., Michael Yuan dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd. Karim.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Huawei Technologies Malaysia dan Telekom Malaysia (TM) dengan UTHM serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
#mediadigitaljohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor