MBJB PERKUKUH PENGURUSAN HAIWAN TERBIAR MENERUSI PENGOPERASIAN JBSAS

JBSAS juga akan turut dilengkapi kemudahan pejabat serta kawasan lapang bagi menyokong urusan penempatan, penyimpanan dan tuntutan haiwan dengan lebih teratur, cekap dan sistematik. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor.
#IskandarPuteri – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terus mempergiatkan usaha menangani isu haiwan terbiar menerusi pengoperasian pusat perlindungan haiwan Johor Bahru Stray Animal Sanctuary (JBSAS) yang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan.
Inisiatif komprehensif dengan kos sebanyak RM5.6 juta itu dijangka akan memperkukuh pengurusan haiwan terbiar secara lebih menyeluruh, selain ia juga turut dilengkapi kemudahan asas bagi menempatkan pelbagai kategori haiwan secara sementara termasuk anjing, kucing, burung, ayam, kambing dan lembu.
JBSAS juga akan turut dilengkapi kemudahan pejabat serta kawasan lapang bagi menyokong urusan penempatan, penyimpanan dan tuntutan haiwan dengan lebih teratur, cekap dan sistematik.
Inisiatif ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan keselamatan awam dan kebajikan haiwan terjamin, khususnya susulan beberapa kejadian serangan anjing liar yang mengakibatkan kecederaan serius kepada mangsa di Batu Pahat dan Iskandar Puteri, sebelum ini.
Selain mempergiatkan operasi penangkapan haiwan terbiar di kawasan pentadbirannya, MBJB juga turut melaksanakan pelbagai program kawalan populasi melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak veterinar dan sukarelawan.
Untuk rekod, lima program kembiri anjing dilaksanakan sepanjang 2024 dan 2025 dengan sebanyak 932 ekor anjing terbiar berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada NGO untuk tujuan penjagaan dan pemeliharaan. MBJB turut meneruskan inisiatif sama dengan sasaran 200 ekor anjing terbiar dengan kerjasama Iskandar Malaysia Social Hero (IMSHA) pada 28 Oktober lalu.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar MBJB mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 10/2026 di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, semalam.
#JohorSafeZone
#MBJB
#JBSAS
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



